Saturday, December 4, 2010
ragam manusia
Bila sebut "MASJID",
pasti terbayang di kepala
tempat orang Islam solat.
ya! tepat sekali. itulah jawapan yang kami cari.
eh, eh, tapi ini bukan kuiz.
ini betul-betul!! bukan cobaan.
begitulah kisahnya. jiwa-jiwa yang hadir berbagai jenis.
dari yang datang untuk menunjuk-nunjuk,
datang untuk pulang bersama kekasih hati,
datang untuk bergosip,
agak kasar bunyinya kan? tapi ini lah REALITI!!
sampailah yang datang untuk benar-benar
menghambakan diri pada Allah Yang Maha Kuasa,
untuk mencari redha Allah. inilah ragam masyarakat kita.
dari golongan manakah kita ye????
jawapannya ada pada diri kita sendiri..
tepuk dada, tanyalah IMAN kita
Terdapat beberapa adab dan hukum-hukum yang dititikberatkan oleh agama Islam berkenaan masjid. Berikut ialah adab-adab serta hukum-hukum yang sepatutnya diamalkan oleh umat Islam ketika mengunjungi masjid:
1) Ikhlaskan niat ketika pergi ke masjid.
Allah berfirman dalam Surah al-Bayyinah ayat 5 bermaksud: Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan (niat yang ikhlas) kepada-Nya dalam (menjalankan agama dengan lurus.
2) Mengambil wuduk sebelum pergi ke masjid.
Dalam Mu'jam at-Tabrani al-Kabir diriwayatkan daripada Sulaiman bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda sebagaiamana bermaksud: Sesiapa yang mengambil wuduk di rumahnya dan diperelokkan wuduknya, kemudian dia pergi ke masjid, maka dia adalah tetamu Allah, dan menjadi kewajipan ke atas orang yang dilawati untuk memuliakan tetamunya.(Sahih Targhib, 322)
Daripada Abu Umamah bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan yang bersih untuk menunaikan solat fardu, maka pahalanya adalah seumpama menunaikan haji. (Riwayat Abu Daud dan dihasankan oleh Al-Bani di dalam Sahih al-Targhib, 320).
3) Sentiasa tenang dan tidak tergopoh-gapah ketika menuju masjid.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: Jika kamu terdengar iqamat, maka berjalanlah kamu ke tempat solat dalam keadaan tenang dan tidak tergopoh-gapah. Apa yang kamu sempat, maka solatlah, dan apa yang tertinggal maka sempurnakanlah. (Muttafaqun `alaihi).
4) Dilarang membunyikan jari di dalam masjid.
Di dalam hadis Ka`ab bin A'jrah, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: Jika kamu berada di dalam masjid, janganlah kamu membunyikan jari-jari kamu kerana kamu seolah-olah berada dalam sembahyang ketika kamu menunggu untuk menunaikan sembahyang. (Riwayat Ibnu Hibban dan terdapat di dalam Sahih al-Targhib, 294).
5) Berhias.
Allah berfirman di dalam Surah al-A'raf ayat 31 bermaksud: Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah pada setiap kali memasuki masjid.
Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini, mengatakan: ``Berdasarkan ayat ini dan apa yang disebut di dalam hadis Rasulullah, kita disunatkan untuk berhias ketika menunaikan solat, terutamanya ketika menunaikan Solat Jumaat dan Solat Hari Raya. Kita juga disunatkan untuk memakai wangi-wangian kerana ia juga merupakan salah satu jenis perhiasan di dalam Islam. Selain itu, bersiwak dan memakai pakaian putih juga merupakan sunah dan amalan Rasulullah.''
6) Disunatkan untuk Solat Tahiyat al-Masjid.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: Jika salah seorang daripada kamu memasuki masjid, janganlah kamu duduk melainkan kamu solat dua rakaat. (Muttafaqun `alaihi).
7) Dilarang menjadikan masjid tempat laluan.
Diriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: Jangan menjadikan masjid-masjid sebagai tempat laluan atau jalan melainkan sebagai tempat mengingati Allah dan tempat sembahyang. (Riwayat Tabrani dan dihasankan oleh al-Bani di dalam Sahihah, 1001 dan Sahih at-Targhib, 295).
Diriwayatkan daripada Abdulullah Ibn Mas`ud bahawa Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya salah satu tanda di antara tanda-tanda Hari Kiamat, ialah seorang lelaki berjalan di dalam masjid tanpa menunaikan sembahyang dua rakaat di dalamnya. (Riwayat Ibn Khuzaimah dan disokong oleh al-Bani di dalam Sahihah, 649).
Kesimpulannya, masjid mempunyai darjat dan makam yang tinggi di dalam Islam yang patut kita agungkan dan kita hormati. Justeru, berdasarkan tujuh adab yang disebutkan di atas, marilah kita sama-sama menghormati dan memakmurkannya de-ngan penuh dedikasi dan tanggungjawab. Semoga setiap amalan yang kita laksanakan dari hari ke hari akan mendapat ganjaran yang selayaknya daripada Allah s.w.t. di akhirat kelak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment