Sunday, December 19, 2010

aku masih berharap



sahabat,
dalam diam aku mengagumimu,
ilmu yang aku ada tak setandingmu,
kau sangat berbeza denganku,
taraf hidupmu lebih tinggi dariku,
namun, bukan aku ingin menghina diri dihadapanmu,
bukan itu yang berputar di dalam mindaku.

tahukah dikau,
setiap ilmu serta tazkirah darimumu,
sangat berharga,
bukan wang nilai tandingannya, sahabat,
ku simpan utuh di dalam hati,
kujadikan pedoman buat hidup berdikari,
aku tak punya harta tapi punya iman dan juga harga diri,
yang tak mungkin ku lelong sana-sini,
ianya mahal tidak mampu ditandingi

sahabat,
tatkala kau berjaya,
SOMBONG menggoyah imanmu,
kau mula berlagak sendiri,
mula meninggi diri, habis aku dicaci maki,
airmata berlinang ku paksa tidak mengalir,
lupakah dikau pesanan semalam?
lupakah dikau perintah Allah?
lupakah dikau larangan Allah?



sahabat,
apa dayaku untuk menegurmu?
aku tak punya kuasa, kedudukan,
untuk menarikmu semula,
meskipun itulah hajat di hati,
senjata yang ku punya hanyalah DOA,
moga doaku diterima,
kau pulang ke jalan asal...

sahabat,
hari ini aku muhasabah diri,
tak ada jaminan,
nafas kita tidak terhenti,
entah hari ini atau esok,
tak tahu lagi,
berapa ramai anak pergi sebelum orang tuanya?
berapa ramai dotor pergi sebelum pesakitnya?
berapa cucu pergi sebelum neneknya?



JELASLAH SAHABAT,
ILMU YANG TERSIMPAN PERLULAH,
DISEMAI SEBELUM NAFAS DIHUJUNG HELAAN,
SEBELUM MATA RAPAT TERPEJAM.
AGAR BERBUNGA KAJAYAAN,
DIDUNIA DAN AKHIRAT
.



aku masih berharap.....

berjuangkah aku?



Aku mengaku sebagai pejuang agama Allah,

Tapi aku tidak mengikuti sunnah,

Aku mengaku pembawa Islamiah,

Tapi caraku tidak seperti Rasulullah...





Aku mengaku berjuang di jalan Allah,

Tapi aku masih mensia-siakan ibadah,

Aku mengaku ada kesatuan jemaah,

Tapi selalu menghina menabur fitnah..





Ya Allah bimbinglah diriku ini,

Ke jalan yang Engkau redhai Ilahi,

Agar aku selamat di duniawi,

Untuk menuju akhirat yang kekal abadi..





Aku mengaku bahawa akulah pejuang jundullah,

Sedangkan akhlakku masih bermasalah,

Aku masih mengamalkan sifat mazmumah,

Hatiku yang penuh dengan keburukan ammarah..





Aku mengaku pembawa agama,

Padahal akulah perosak ibadah,

Kalaulah aku pembawa Islamiyyah,

Tentulah jiwaku berakhlak mahmudah..





Aku mengaku sebagai tentera Allah,

padahal akulah pemecah amanah,

Kalaulah ada iman dan Taqwa di dada,

Tentulah aku malu kepadaNya..





Ampunkanlah dosa-dosaku Tuhan,

Yang banyak melakukan kesilapan,

Aku mengaku bersalah denganMu Tuhan,

Ku harap dosaku diampunkan...





Kerana Engkau Maha Pengampun padaku,

dan juga Maha Penyayang akan hambaMu,

kepadaMu kuberserah diri,

Kuharapkan keredhaan sebagai pejuang di jalanMu...




Oh Tuhan, bimbinglah aku...


warkah buat bakal suamiku..




Buatmu,



Bakal suamiku.



Entah angin apa yang membuai hari ini, membuatkanku begitu berani untuk mencoretkan sesuatu untuk dirimu yang tidak pernah kukenali. Aku sebenarnya tidak pernah berniat untuk memperkenalkan diriku kepada sesiapa. Apatah lagi meluahkan sesuatu yang khusus buatmu sebelum tiba masanya. Kehadiran seorang lelaki yang menuntut sesuatu yang aku jaga rapi selama ini semata-mata buatmu. Itulah hatiku dan cintaku, membuatkan aku tersedar dari lenaku yang panjang.



Aku telah dididik ibu semenjak kecil agar menjaga maruah dan mahkota diriku kerana Allah telah menetapkannya untuk suamiku, iaitulah dirimu suatu hari nanti. Kata ibu, tanggungjawab ibubapa terhadap anak perempuan ialah menjaga dan mendidiknya sehingga seorang lelaki mengambil alih tanggungjawab itu dari mereka. Jadi, kau telah wujud dalam diriku sejak dulu lagi. Sepanjang umurku ini.



Aku menutup pintu hatiku daripada mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu membelakangimu. Aku menghalang diriku dari mengenali mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu mengenali lelaki lain selainmu, apatah lagi memahami mereka. Kerana itulah aku sedaya kudrat yang lemah ini membatasi pergaulanku dengan bukan mahramku. Aku sering sahaja berasa tidak selamat diperhatikan lelaki. Bukanlah aku menyangka buruk terhadap mereka, tetapi lebih baik aku berjaga-jaga kerana contoh banyak di depan mata. Apabila terpaksa berurusan dengan mereka, akan aku buat ‘expressionles face’ dan ‘cool’. Akan aku palingkan wajahku daripada lelaki yang asyik merenungku ataupun cuba menegurku. Aku seboleh-bolehnya melarikan pandanganku daripada ajnabi kerana pesan Sayyidatina ‘Aisyah R.A ;



“sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang dan dipandang”



Aku tidak ingin dipandang cantik oleh lelaki. Biarlah aku hanya cantik di matamu. Apa guna aku menjadi idaman ramai lelaki sedangkan aku hanya boleh menjadi milikmu seorang. Aku tidak merasa bangga menjadi rebutan lelaki bahkan aku merasa terhina diperlakukan sebegitu seolah-olah aku ini barang yang boleh dimiliki sesuka hati. Aku juga tidak mahu menjadi punca kejatuhan seseorang lelaki yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat kuberikan.



Bagaimana akan aku jawab di hadapan Allah kelak andai disoal?



Adakah itu sumbanganku kepada manusia selama hidup di muka bumi?



Kalau aku tidak ingin kau memandang perempuan lain, aku dululah yang perlu menundukkan pandanganku. Aku harus memperbaiki kelemahan dan menghias peribadiku kerana itulah yang dituntut Allah. Kalau aku inginkan lelaki yang baik menjadi suamiku, aku juga perlu menjadi perempuan yang baik.



Bukankah Allah telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik?



Tidak dapat aku nafikan, sebagai remaja aku memiliki perasaan untuk menyayangi dan disayangi. Namun, setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah aku mengingatkan diriku bahawa aku perlu menjaga perasaan itu kerana ia semata-mata untukmu. Allah telah memuliakan seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Bukan hati yang menjadi lebihan lelaki lain. Lelaki itu berhak mendapat kasih yang tulen, bukan yang telah dibahagi-bahagikan.



Diriku yang sememangnya lemah ini diuji Allah apabila seorang lelaki secara tidak sengaja mahu berkenalan denganku. Aku secara keras menolak, pelbagai dalil aku dikemukakan, tetapi dia tidak mahu mengalah. Lelaki itu tidak hanya berhenti di situ. Dia sentiasa menghubungi dan menggangguku. Aku berasa amat tidak tenteram, seolah-olah seluruh hidupku yang ceria selama ini telah dirampas dariku. Aku tertanya-tanya adakah aku berada di tebing kebinasaan. Aku beristighfar memohon keampunan-Nya. Aku juga berdoa agar Dia melindungi diriku daripada sebarang kejahatan. Kehadirannya membuatkan aku banyak memikirkanmu. Kau kurasa seolah-olah wujud bersamaku. Di mana sahaja aku berada, akal sedarku membuat perhitungan denganmu. Aku tahu lelaki yang melamarku itu bukan dirimu. Malah aku yakin pada gerak hati, ‘woman intuition’ku yang mengatakan lelaki itu bukan kau.



Aku bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku ini untuk memilih berlian sedangkan aku hanya sebutir pasir yang wujud di mana-mana. Tetapi aku juga punyai keinginan seperti gadis lain, dilamar lelaki yang bakal dinobat sebagai ahli syurga, memimpinku ke arah tuju yang satu. Tidak perlu kau memiliki wajah seindah Nabi Yusuf A.S yang mampu mendebarkan jutaan gadis untuk membuatku terpikat. Andainya kaulah jodohku yang tertulis di Luh Mahfuz, Allah pasti mencampakkan rasa kasih di dalam hatiku, jua hatimu kali pertama kita berpandangan. Itu janji Allah. Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan kau zahirkan perasaanmu itu kepadaku kerana kau masih tidak mempunyai hak untuk berbuat begitu. Juga jangan kau lampaui batasan yang telah ditetapkan syara’. Aku takut perlakuanmu itu akan memberi impak yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak. Permintaanku tidak banyak, cukuplah dirimu yang diinfak seluruhnya pada mencari redha Ilahi.



Aku akan berasa amat bertuah andai dapat menjadi tiang seri ataupun sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Ilahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, menghulurkan tanganku untuk berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid itu. Akan aku kesat darah dari lukamu dengan tanganku sendiri. Itulah impianku. Aku pasti berendam airmata darah andainya engkau menyerahkan seluruh cintamu padaku. Bukan itu yang aku impikan. Cukuplah kau mencintai Allah dengan sepenuh hatimu. Kerana dengan mencintai Allah kau akan mencintaiku kerana-Nya. Cinta itu lebih abadi dari cinta insan biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga.



Aku juga tidak ingin dilimpahi kemewahan dunia. Cukuplah dengan kesenangan yang telah diberikan ibubapaku dulu. Apa guna kau menimbun harta untuk kemudahanku sekiranya harta itu membuatkan kau lupa pada tanggungjawabmu terhadap agamamu. Aku tidak akan sekali-kali bahagia melihatmu begitu. Biarlah kita hidup di bawah jaminan Allah sepenuhnya. Itu lebih bermakna bagiku.



Dariku,



Bakal isterimu



~Naluri ingin menyayangi dan disayangi itu adalah normal untuk manusia yg normal :) Tapi biarlah menyayangi dan disayangi yang membawa barakah kepada diri sendiri dan org yg disyangi… Apalah gunanya diri disyangi andai jauh dari rahmatNya. Wallahua’lam~



sumber: iluvislam

surat untuk future wife..

surat ni bukan lawak kosong yang tak ada isi. banyak mesej terselit. terpulang kepada pembaca sama ada nak fikir positif atau negatif.. ^_^






Assalamua'laikum..~



Kehadapan my future wife(s)



I menulis article ini bukan lah kerana di cabar oleh seorang member yang ingin melihat keromantikan I. Tapi.. err.. I ...menulis ini adalah kerana kehendak I. So, sila baca entri ni perlahan-lahan. Tak perlu laju-laju.



So, wahai my future wife(s)



I don't know who the hell are you and I have no idea where you are right now. But one day, bila kita dah berjumpa, I harap you mampu terima I seadanya seperti mana I akan terima you dan diri you sebenarnya. Lagi pun, I tahu yang you ni memang comel. Dan baik. Dan rajin. Dan alim. Dan cun.



I berharap bila I check facebook you nanti, you tidak letak banyak gambar you yang daring-daring kat facebook. Sebab, setahu I, kalau perempuan tu comel, mesti nak tunjukkan ke seluruh dunia. Macam lah dia sorang je yang comel. I comel tak ada pun letak gambar kat facebook tunjuk ke seluruh dunia. Boleh je hidup. Ehem.




Serta, gambar di facebook tu, jangan lah nak dedah sana dedah sini. Malu I. You pun tau kan, perempuan ni ibarat cokelat Ferrero Rocher. Bila berbalut dengan pembalut, even cokelat tu jatuh kelantai pun orang still nak. Tapi kalau dah tak berbalut, bila jatuh ke lantai, semua buat dono. Ada tu, kalau boleh, ada yang nak pijak lagi. You pun tak nak kena pijak kan?



Lagi pun, you tahu, tak ada lelaki di dunia ni yang nak kahwin dengan perempuan yang seksi meksi.



My future wife(s),



I tak tahu pasal masa depan I. I tak tahu berapa banyak duit yang I akan ada. So, dengan kata lain, I mungkin tak akan mampu kasi rumah 10 tingkat kat you. I juga mungkin tak mampu kasi you 10 emas intan berlian. Harap you tak kisah dengan diri I yang tak beharta ni. Tapi kalau setakat kasi you 20 hingga 30 anak tu, I okay je. Dalam tiga tahun, kita mungkin akan ada 2 anak. Tapi tu tak termasuk yang kembar tau.



Bila kita ada rumah nanti, I tak kisah kalau you nak bekerja. Tapi lagi bagus kalau you duduk je rumah jaga I. I bukan mintak di layan bagai raja. Tapi kalau I balik dari kerja tu, apa salahnya tanggalkan stokin I, urut bahu I, sediakan minum-minum I. Tapi kalau you tak nak buat, tak apa. I boleh tambah lagi 1 (cukup 2). Lagi pun, bila I tambah lagi 1, kurang la sikit beban you. See? I memang prihatin.



Hmm. You tau, I tak mengharapkan yang you adalah gadis lemah lembut dan ikut semua kata I. Kalau you boyish sikit pun apa salahnya. Aggressive itu menarik. Kalau boleh, lebihkan kat bahagian mengada-ngada dan keras kepala you tu. I suka. Senang la I nak ajak bergaduh kalau macam tu. Sebab kalau di ikutkan, I tak suka perempuan yang lemah lembut sangat. Nanti tak meriah rumah tangga. So kalau skali skala bergaduh, best juga kan? Lagi pun, kita gaduh siang-siang je, bila dah nampak katil di malam Jumaat, kita berbaik lah. Tambahan pula, bagi kita, setiap malam kan malam Jumaat.



My future wife (s),



You, I harap you reti memasak. You mesti reti memasak. Apa? Tak salah kalau perempuan tak reti masak? Ya. Memang tak salah. I tak kata pun salah. Tapi jangan salahkan I kalau I tambah lagi 1 isteri (cukup 3) sebab yang satu dan dua tak reti masak nak buat macam mana kan? Okay tak-tak. I tak nak bini 2,3,4. Banyak sangat. bukan tak mampu. Tapi... Ehem.



Actually, I bukan mintak you masak macam makan kat hotel. Asalkan you reti masak yang simple-simple sudah lah. You tau, air tangan masakan isteri lah yang buat si suami setia. Lagi pun, tak akan setiap hari kita nak makan kat restoran kan? Kalau setiap hari makan kat restoran, baik I kahwin je dengan mak cik tukang masak tu. Ye tak? You pun tak nak kan I tambah lagi satu (cukup 4) kan?



I harap you reti jaga diri sebelum jumpa I. Kalau boleh, jangan couple banyak-banyak. Tak pernah couple lagi bagus. Tapi kalau dah couple tu, jangan buat yang bukan-bukan dengan boyfriend you. Bila dating tu, jangan nak mengada-ngada keluar berdua. Boyfriend you tu bukan boleh percaya sangat. Kebanyakkanya adalah buaya. Sebab kalau dah lelaki, mesti bermulut manis. Boys, their mouth is bullshit. So, don't trust them.



Akhir kata dari I, bila kita kahwin nanti, you masak, I makan. I imam, you makmum. I baca doa, you aminkan. You merajuk, I pujuk. Perfect, kan? So cepat lah cari I. I takut lah nak cari 'you'. Takut tersalah pilih perempuan lain.You pun mesti tak nak jadi isteri ke dua I kan.


Saturday, December 18, 2010

AYAH, ADAKAH MANUSIA TIDAK MASUK NERAKA BILA HARI HUJAN?



Pada setiap petang Jumaat, selepas solat Jumaat, selepas melayani para jamaah di Masjid
Imam dan putera lelakinya yang berumur 11 tahun akan keluar ke bandar untuk
mengedarkan risalah bertajuk “Jalan Ke Syurga” dan juga menyampaikan ceramah agama.



Pada petang Jumaat itu, seperti biasa Imam dan putera lelakinya akan keluar untuk mengedarkan risalah.
Bagaimanapun pada petang tersebut keadaan di luar rumah sangat sejuk dan hujan pula turun dengan sangat lebat.

Budak itu memakai baju sejuk dan baju hujan dan berkata “OK ayah, saya sudah bersedia”.



Ayahnya berkata “Bersedia untuk apa?”.

Budak itu menjawab “Ayah, masa telah tiba untuk kita keluar mengedarkan buku-buku tentang Islam ini”.

Ayahnya membalas “Anakku, di luar sana sangat sejuk dan hujan lebat pulak”.

Dengan muka yang kehairanan, budak itu bertanya ayahnya, “Tetapi ayah, adakah manusia tidak masuk neraka jika hari hujan?”

Ayahnya menjawab, “Anakku, Ayah tak akan keluar dengan cuaca begini..”.

Dengan nada sedih, budak itu bertanya, “Ayah, boleh tak benarkan saya pergi?”.

Ayahnya teragak-agak seketika, kemudian berkata, “Anakku, awak boleh pergi.
Bawalah buku ini semua dan berhati-hati” .



Kemudian, budak itu telah keluar dan meredah hujan.
Budak sebelas tahun ini berjalan dari pintu ke pintu dan lorong-lorong sekitar bandar.
Dia memberikan risalah dan buku kepada setiap orang yang ditemuinya.

Setelah dua jam berjalan dalam hujan, akhirnya tinggal hanya satu naskhah padanya.
Ketika itu dia telah basah kuyup dan berasa sejuk hingga ke tulang.
Budak itu berhenti di satu penjuru jalan sambil mencari seseorang untuk diberikan buku tersebut.
Namun keadaan di situ lengang.
Kemudian dia berpatah balik ke rumah pertama yang dia lalu di lorong itu.
Dia berjalan di kaki lima menuju ke rumah tersebut.
Bila sampai di pintu hadapan, dia menekan suis loceng namun tiada sesiapa yang membuka pintu.
Dia tekan lagi dan lagi, tetapi masih tiada jawapan.
Dia tunggu lagi tetapi masih tiada jawapan.


Akhirnya dia berpaling untuk meninggalkan rumah tersebut, tetapi seperti ada sesuatu yang menghalangnya.
Dia kembali ke pintu itu dan menekan lagi suis loceng dan buat pertama kalinya mengetuk pintu dengan kuat.
Dia tunggu, kemudian seperti sesuatu di anjung rumah itu menghalangnya supaya jangan pergi.
Dia menekan suis loceng sekali lagi dan kali ini dengan perlahan pintu dibuka.

Berdiri di hadapan pintu itu seorang perempuan tua yang berwajah kesedihan.
Dengan perlahan perempuan tua itu bertanya, “Apa yang boleh saya bantu awak, wahai budak?”.

Dengan senyuman serta mata yang bersinar yang boleh menyinarkan bumi, budak itu berkata,
“Makcik, saya mohon maaf kalau saya telah mengganggu makcik.
Saya hanya ingin memberitahu bahawa Allah sangat sayang dan sentiasa melindungi makcik.
Saya datang ini hendak memberikan sebuah buku yang terakhir ada pada saya ini.
Buku ini menerangkan semua tentang Tuhan,
tujuan sebenar Tuhan menjadikan kita dan bagaimana untuk mencapai kebahagiaan daripada-Nya” .

Kemudian, budak itu menyerahkan buku terakhir itu dan berpaling untuk balik.
Sebelum berjalan balik, perempuan itu berkata,
“Terima kasih ya anak dan semoga Tuhan memberkatimu” .

Selepas solat Jumaat pada minggu berikutnya, Imam menyampaikan ceramah agama seperti biasa.
Dia menamatkan ceramahnya dengan bertanya,
“ Ada sesiapa yang ingin bertanya soalan atau ingin berkata sesuatu?”.

Dengan perlahan, di barisan belakang di kalangan tempat duduk muslimat,
suara seorang perempuan tua kedengaran di speaker,
“Tiada di kalangan jemaah yang berkumpul ini mengenali saya.
Saya tidak pernah hadir sebelum ini.
Sebelum hari Jumaat yang lepas, saya belum lagi memeluk agama Islam bahkan tidak terfikir langsung untuk memeluknya.
Suami saya telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu,
meninggalkan saya sebatang kara, saya benar-benar keseorangan di dunia ini.”

Pada petang Jumaat yang lepas, ketika cuaca sejuk dan hujan lebat,
saya telah bertekad untuk membunuh diri kerana sudah putus harapan untuk hidup.
Jadi saya mengambil seutas tali dan sebuah kerusi lalu menaiki loteng di rumah saya.
Saya ikat tali tersebut dengan kuat pada kayu palang di bumbung rumah kemudian berdiri di atas kerusi,
hujung tali satu lagi saya ikat di sekeliling leher saya.



Sambil berdiri di atas kerusi, saya berasa benar-benar keseorangan, patah hati.
Saya hampir-hampir hendak melompat tiba-tiba loceng pintu berbunyi di tingkat bawah dan saya tersentak.
Saya berfikir untuk menunggu sebentar, dan pasti orang itu akan pergi.
Saya tunggu dan tunggu, tetapi bunyi loceng semakin kuat dan bertubi-tubi.
Kemudian orang yang menekan suis loceng itu, mengetuk pintu pula dengan kuat.

Saya berfikir sendirian lagi “Siapalah di muka bumi ini yang boleh buat begini?
Tiada siapa pernah tekan suis loceng itu atau nak berjumpa dengan saya”.
Saya longgarkan tali ikatan di leher dan kemudian pergi ke pintu hadapan.
Ketika itu bunyi loceng kuat dan semakin kuat.

Bila saya buka pintu dan lihat, sukar untuk dipercayai oleh mata saya,
di anjung rumah saya itu berdiri seorang budak yang sangat comel yang bersinar wajahnya seperti malaikat,
tidak pernah saya jumpa sebelum ini di dalam hidup saya.



Budak itu tersenyum.
Oh! Saya tidak dapat hendak gambarkan kepada anda semua.
Perkataan yang keluar daripada mulutnya menyebabkan hati saya yang telah lama mati tiba-tiba hidup semula, seruan budak itu seperti suara bayi yang sangat comel.
“Makcik, saya datang hendak memberitahu bahawa Allah sangat menyayangi dan sentiasa melindungi makcik”. Kemudian dia memberikan kepada saya sebuah buku bertajuk “ Jalan Ke Syurga” yang saya sedang pegang ini.

Bila “malaikat kecil” itu telah pulang meredah sejuk dan hujan,
saya menutup pintu dan membaca dengan perlahan setiap perkataan yang tertulis di dalam buku tersebut.
Kemudian saya naik semula ke loteng untuk mendapatkan semula tali dan kerusi.
Saya tak perlukannya lagi.

Oleh sebab di belakang buku ini ada tertera alamat tempat ini,
saya sendiri datang ke masjid ini ingin mengucapkan syukur kepada Tuhan.
Tuhan kepada budak kecil yang telah datang tepat pada waktunya,
yang dengan demikian telah terhindar jiwa saya daripada keabadian di dalam neraka.

Ramai yang berada di dalam masjid ketika itu menitiskan air mata.
Mereka melaungkan TAKBIR…ALLAH HU AKBAR…gemaan takbir bergema di udara.
Imam iaitu ayah kepada budak itu turun dari mimbar pergi ke barisan hadapan di mana
“malaikat kecil” itu sedang duduk.


Dia mendakap puteranya dengan air mata keluar tanpa disedarinya.
Mungkin tidak ada jemaah yang memiliki saat yang lebih mulia ini dan mungkin di alam semesta ini belum pernah melihat seorang ayah yang penuh kasih sayang dan penghormatan terhadap anaknya.

Friday, December 17, 2010

menegur orang lebih berusia

macam mana kita nak tegur orang yang lebih berusia dari kita? contohnya ibu,ayah, makcik,pakcik dan sebagainya. nak sound direct? nak sulam dengan sindiran? tak perlu barangkali. kita disarankan untuk menegur secara berhikmah. mungkin kisah cucu Rasulullah S.A.W di bawah mampu merungkaikan cara menegur orang yang lebih berusia. InsyaAllah.





**********************************************************************************

Pada suatu hari , Saidina Hassan ( r.a ) dan Saidina Hussein ( r.a ) melihat seorang tua mengambil wudhuk dengan cara yang tidak betul. Akan tetapi , kedua-dua orang cucu Baginda Rasulullah s.a.w yang mulia ini tidak tahu bagaimanakah cara sebaiknya untuk mereka berdua ( r.a ) menegur orangtua tersebut . Akhirnya , mereka ( r.a ) menemui sebuah cara terbaik untuk menegur orang tua tersebut dan sekaligus menjalankan usaha dakwah kepadanya .

Mereka berdua ( r.a ) pun berpura-pura bertengar sesama sendiri di dalam menentukan wudhuk siapakah yang paling betul dan paling sesuai dengan ajaran Baginda Rasulullah s.a.w .

“ Wudhukmu tak betul ! “.

“ Apa pulak aku ?, wudhuk kau tu yang tak betul ! “ .

Lalu kedua-dua cucu Baginda Rasulullah s.a.w yang mulia itu pun meminta agar si datuk ( orang tua itu) menjadi pengadil di antara kedua-duanya ( r.a ) . Maka berwudhuklah mereka berdua ( r.a ) dengan diperhatikan oleh orang tua itu.

“ Wudhuk siapakah yang paling betul di antara kami berdua ini wahai datuk ! “ ; tanya kedua-dua mereka ( r.a ) .

“ Wudhuk kamu berdua ini sama-sama betul belaka, tapi wudhuk akulah yang tak betul. Oleh itu akulah yang patut belajar cara mengambil wudhuk yang betul daripada kamu berdua “ . kata orang tua itu.

jelaslah di sini, cucu Rasulullah menggunakan cara yang berhikmah untuk menegur warga tua tersebut, baik warga tua tidak sakit hati, cucu Rasulullah juga tidak sakit hati, FAIR bukan?? jadi anak-anak muda yang ingin menegakkan amar maaruf nahi mungkar di luar sana, cuba terapkan kaedah ini untuk menegur mereka yang lebih berusia.

tapi, macam mana kalau tak jalan juga? mereka tetap macam tu, apa orang kata? "masuk telinga kanan keluar telinga kiri"?? hah, macam tu lah agaknya, ingat!!

Allah ada berfirman dalam surah Al-anfal ayat 45:

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)."





doa senjata orang beriman, jadi berdoalah dibukakan pintu hatinya InsyaAllah..


Thursday, December 16, 2010

kerana epal..

di sini suka saya berkongi kisah yang menceritakan tentang seorang hamba Allah yang alim, tabah dan menerima takdir dan ujian Allah terhadapnya.

Abu Soleh adalah seorang yang taat akan perintah Allah dan suka melihat dan merenung akan kekuasaan dan kebesaran Allah. Diceritakan, setiap kali selepas solat Subuh, Abu Soleh akan berada di tepian sungai sambil menikmati keindahan alam ciptaan Allah. Jika kita bayangkan, aliran air yang mengalir deras, suasanan pagi yang nyaman, kicau burung yang bersahutan dan kebangkitan matahari pagi akan menyebabkan keadaan langit seakan terlukis satu karya yang amat indah, mengisi transisi antara malam dan siang, memang patutlah beliau mengambil kesempatan ini untuk menginsafi diri akan kekuasaan dan kebesaran Allah yang telah menciptakan segala sesuatu itu.

Tatkala suatu hari, maka beliau seperti biasa berada di tepian sungai selepas subuh. Akan tetapi pada hari yang tersebut, beliau berasa teramat lapar. Dengan takdir Allah, beliau telah terlihat sebiji epal teroleng-oleng dibawa arus sungai tempat beliau menikmati keindahan alam. Akan r sebab lapar yang teramat sangat, beliau telah mengambil buah epal tersebut dan mengigitnya dengan sekali gigit. Dan dengan takdir Allah jua, beliau telah teringat seperti ini “Epal yang aku makan ini bukan milikku, aku belum minta izin dengan tuannya lagi”. Maka disebabkan yang itu, maka beliau menghentikan niatnya untuk makan epal itu, dan membawa epal yang ghebeh (bahsa Kedah sket.. x paham tanya kat sbox) tu, menuruti aliran sungai sehingga berjumpa dari mana asal epal tersebut.



Pencarian Abu Soleh akhirnya berhasil. Beliau menemui sepohon epal dan berhampirannya terdapat sebuah rumah. Agak beliau, tentulah ini pohon epal kepada epal yang dijumpainya, dan rumah yang terdapat di situ tentulah rumah pemiliknya. Maka pintu diketuk dan tuan rumah itu pon keluar untuk melihat kedatangan Abu Soleh. Diceritakan bahawa tuan rumah itu merupakan seorang wali Allah.. Maka berlakulah dialog seperti berikut (dengan olahan sendiri, tanpa maksud yg lari…)



“Adakah tuan pemilik pohon epal ini?” Tanya Abu Soleh.
“Ya, itu pohon epal kepunyaanku. Kenapa kau ke mari? ” balas tuan rumah tersebut.
“Sesungguhnya aku ingin memohon maaf kepadamu. Aku telah terjamah sebiji epal yang jatuh dari pohonmu ke dalam sungai.” Sambil menunjukkan baki epal yang telah digigitnya itu dan menceritakan halnya mengikut aliran sungai hingga terjumpa rumah pemilik pohon epal itu.
“Benar, itu epal dari pohonku. Aku boleh maafkan engkau tetapi sebelum itu engkau akan aku kenakan denda..” Balas pemilik epal itu.
“Baiklah, aku rela apa jua denda yang engkau berikan,” Balas Abu Soleh.
“Hendaklah engkau menjadi budak suruhanku dengan melakukan apa jua yang aku perintahkan selama 12 tahun..” balas pemilik itu.

Maka Abu Soleh yang telah berasa bersalah demi kerana hanya satu gigitan epal, bersetuju untuk menjadi budak suruhan pemilik tersebut. Bekerjalah dia untuk orang tua itu selama 12 tahun. Cukup tempoh 12 tahun, Abu Soleh kembali menemui pemilik itu kembali.

“Tempoh 12 tahun sebagai denda telah ku lalui. Maka maafkanlah aku atas kesalahan ku yang lalu itu,” kata Abu Soleh
“Tak boleh… tak boleh, kau akan aku denda lagi sebelum ku maafkan..” balas pemilik epal itu.
“Baiklah, jika itu kemahuanmu, aku turuti jua. Beritahulah aku, apa dendanya kali ini,” balas Abu Soleh.
“Kau mesti mengahwini anakku yang rupanya hitam legam, kudung tangannya, kudung kakinya, buta matanya, bisu mulutnya, pekak telinganya..” kata pemilik epal itu.

Mendengar kata-kata orang tua itu, maka Abu Soleh memikirkan di dalam hatinya akan balasan yang diterimanya hanya semata-mata makan sesuatu tanpa meminta kepada tuannya terlebih dahulu. Bagi Abu Soleh, inilah ujian dan takdir yang ditentukan oleh Allah terhadap hamba-Nya untuk menguji tahap keimanan dan ketaqwaan mereka kepada-Nya. Maka, Abu Soleh pon menerimalah dendanya dan dikahwinkan beliau dengan anak perempuan pemilik epal tersebut sebagai syarat untuk dimaafkan kesalahan beliau. Setelah berkahwin, beliau amat terkejut dengan keadaan isterinya. Diceritakan, bahawa isterinya itu tidaklah hitam, tidak pekak, bisu, buta mahupun kudung kaki tangannya. Malah kulitnya putih melepak, sempurna pula sifat fizikal lainnya.

Maka Abu Soleh kembali kepada orang tua itu dan bertanya “Kenapakah engkau mengatakan bahawa anakmu hitam legam sedangkan tidak? Kenapa kau katakan kudung kaki tangannya, buta matanya, bisu mulutnya dan pekak telinganya sedangkan tidak sedemikian?”

Maka jawab ayah mertuanya itu

~~“Ku katakan rupanya hitam legam kerana selama ini, beliau selalu berselubung di sebalik kelubungnya yang berwarna hitam, menutup aurat daripada dilihat oleh manusia lain yang bukan mahramnya.
~~Ku katakan kudung tangan dan kakinya kerana tangannya terpelihara daripada melakukan perkara-perkara maksiat dan tidak pula pernah dia gunakan kakinya untuk menjejak ke tempat-tempat maksiat.
~~Ku katakan buta matanya kerana tidak pernah dia melihat sesuatu yang maksiat.
~~Bisu pula mulutnya adalah kerana tidak pernah dia berkata-kata perkataan yang tidak baik dan maksiat.
Pekaknya adalah tidak dia mahu mendengar perkara yang sia-sia dan maksiat seperti fitnah dan umpatan..



Maka bersyukurlah Abu Soleh akan mendengar perkataan-perkataan tersebut. Rupa-rupanya, disebalik pahit getir yang menimpa beliau, rupa-rupanya di hujung jalan ada rahmat dan kasih sayang Allah yang dizahirkan padanya melalui cara yang telah kita ceritakan seperti di atas..

Monday, December 13, 2010

mati??



Berbekallah ketaqwaan
Kau tak tahu saat malam berlalu
Adakah ia menyisakan umur bagimu
Hingga fajar datang menjelang
Berapa banyak orang yang sihat
Meninggal tanpa ada penyakit
Berapa banyak orang yang sakit
Hidup lama sepanjang hayat

Berapa banyak anak2 belia
Memotong perjalanan umurnya
Jasad mereka terbujur lelap
Di kuburnya yang hitam dan gelap
Berapa banyak mempelai wanita
Berhias untuk suami tercinta
Ajal tidak lagi dapat ditunda
Pada saat malam pertama

Berapa banyak muda dan mudi
Pagi berasmara petang bersenang hati
Tiada pengetahuan yang terpaut
Kain kafannya sedang dirajut(dijahit)

Penyair,
(dari buku:50 wasiat Rasulullah saw untuk wanita)


:hentam je buat video ni,,, janji ada pengisian,, ;p

Saturday, December 11, 2010

berlapang dadalah..

"Aduhai, kenapakah hidup aku selalu dirundung malang begini..?" lelaki muda itu berkeluh-kesah. Selama hidupnya, dia tak pernah merasakan ketenangan yang sebenar. Hatinya tidak pernah sepi daripada merasakan kerisauan.



Fikirnya, Tuhan tidak pernah sudi meminjamkan kedamaian hati padanya. Dia sangat cemburu apabila memandang sekeliling. Mereka bebas ketawa dan mudah tersenyum. Tapi dia? Dia hanya mampu tenggelam dalam dunia sepi dan resahnya sendiri.

Hatinya tidak mampu mengisi segala masalah yang menghimpit jiwanya. Lalu, selepas lelah dan puas berfikir, suatu hari dia melangkah longlai menuju ke hujung kampung. Niat hatinya, ingin menemui seorang lelaki tua.

Saban hari, wajah lelaki tua itu sentiasa kelihatan tenang. Damai sentiasa bertamu diwajahnya. Dia ingin sekali meminta rahsia. Lalu, dia terus berperi kepada lelaki tua tersebut.



Masalah keluh kesah dan kerisauannya didengari lelaki tua itu sambil tersenyum. Lalu dia mengajak lelaki itu ke suatu tempat iaitu ke tepi sebuah kolam yang besar sambil membawa sebiji cawan dan dua bungkus garam. Lelaki itu mengikut, walaupun hatinya sedikit hairan.

"Anak muda," lelaki tua itu bersuara.

"Ambillah cawan ini, isikanlah air dan masukkanlah sebungkus garam," ujarnya lagi. Lelaki itu yang dalam kebingungan hanya menurut.



Cawan diambil, air diisi dan garam dimasukkan. Kemudian lelaki tua itu berkata lagi.

"Sekarang kamu minumlah air tersebut," dalam bingung yang masih bersisa, lelaki itu mengikut kata lelaki tua itu.

" Apa rasanya?" tanya lelaki tua itu apabila melihat kerutan di dahi lelaki tersebut.

" Masin!"

Lelaki tua itu tersenyum lagi.

"Sekarang, kamu masukkan pula sebungkus garam ini ke dalam kolam itu. Kemudian kamu hiruplah airnya."



Lelaki tua itu menunjukkan arah ke kolam. Sekali lagi lelaki itu hanya mengikut tanpa menyoal. Air dicedok dengan kedua belah tapak tangan dan dihirup.

"Apa rasanya, wahai anak muda?" soal lelaki tua itu.

"Tawar, tidak masin seperti tadi," lelaki muda itu menjawab sambil mengelap mulut.

"Anakku, adakah kamu memahami kenapa aku meminta kamu berbuat begitu tadi?" tanya lelaki tua itu, sambil memandang tepat ke arah lelaki tersebut. Lelaki itu hanya menggeleng. Lelaki tua itu menepuk-nepuk bahu lelaki tersebut.

"Anakku, beginilah perumpamaan bagi diri kita dan masalah. Garam itu umpama masalah. Cawan dan kolam umpama hati kita. Setiap orang mempunyai masalah, ditimpa masalah dan diuji dengan masalah. Tetapi, kalau hati kita sebesar cawan, maka kita akan merasai pahitnya masalah itu, pedihnya hati kita dan keluh kesahnya kita."

"Tetapi kalau hati kita sebesar kolam, masalah tidak akan mengganggu kita. Kita masih boleh tersenyum sebab kita akan mengerti masalah bukan hadir untuk menyusahkan kita. Masalah dianugerahkan untuk kita berfikir, untuk kita muhasabah diri. Masalah dan ujian akan memberi hikmah kepada kita."

"Anakku, itulah rahsiaku. Aku sentiasa berlapang dada, aku sentiasa membesarkan jiwaku, supaya aku boleh berfikir tentang perkara-perkara lain dan masih boleh memberi kebahagiaan padaku. Aku tidak akan sesekali membiarkan hatiku kecil seperti cawan, sehingga aku tidak mampu menanggung diriku sendiri."

Maka, pada petang itu lelaki itu pulang dengan senyuman yang terukir di bibir. Dalam hati, dia berjanji akan sentiasa membesarkan jiwa dan berlapang dada.

Friday, December 10, 2010

apa orang kata??

Lukman Hakim memerintahkan anaknya mengambil seekor keledai. Sang anak memenuhinya dan membawanya ke sang ayah.




situasi 1 :

Lukman menaiki keledai itu dan memerintahkan anaknya untuk menuntun keledai.
apa orang kata??
Tiba-tiba orang-orang mengecam seraya berkata, "Anak kecil itu berjalan kaki, sedangkan orang-tuanya di atas keledai, alangkah kejam dan kasarnya ia." Lukman bertanya kepada anaknya, "Bagaimana tanggapan orang-orang wahai anakku?" Sang anak menyampaikan tanggapan mereka.

situasi 2 :

Lukman turun menuntun keledai. Sang anak ganti menaiki keledai.
apa orang kata???
Tiba-tiba mereka mencemuh sang anak seraya berkata, "Anak muda itu menaiki keledai, sedangkan orang tuanya berjalan kaki, alangkah teruk dan kurang ajarnya sang anak." Lukman bertanya kepada anaknya, "Bagaimana tanggapan orang-orang wahai anakku?"
Sang anak menyampaikan tanggapan mereka.

situasi 3 :

Lukman dan anaknya sama-sama menaiki keledai.
apa orang kata??
tiba-tiba orang-orang mencerca keduanya seraya berkata, "Betapa kejam kedua orang itu, mereka menaiki seekor keledai, padahal mereka tidak sakit, dan tidak pula lemah." Lukman bertanya kepada anaknya, "Bagaimana tanggapan orang-orang wahai anakku?"
Sang anak menyampaikan tanggapan mereka.




situasi 4 :

Lukman dan anaknya turun dari keledai. Keduanya berjalan kaki sambil menuntunnya
apa orang kata??
Tiba-tiba orang-orang mengecam seraca berkata, "Subhanallah... seekor himar yang sehat dan kuat berjalan? sementara kedua orang itu berjalan menuntunnya, alangkah baiknya jika salah satu dari mereka menaikinya." Lukman bertanya kepada anaknya, "Bagaimana tanggapan orang-orang wahai anakku?"
Sang anak menyampaikan tanggapan mereka.



Kemudian, Lukman menasihati anaknya: "Wahai anakku, bukankah aku telah berkata kepadamu, kerjakanlah pekerjaan yang membuat engkau menjadi soleh dan janganlah menghiraukan orang lain. Dengan peristiwa ini aku hanya ingin memberi pelajaran kepadamu."



Sumber: Didaptasi dari, Luqmanul Hakim wa-Hikaamuhu, Ali bin Hasan al-Athas

Thursday, December 9, 2010

luahan kaum hawa buat kaum adam



ADAM...
Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu.
Sesungguhnya aku adalah HAWA,
temanmu yang kau pinta semasa kau kesunyian di syurga dahulu.
Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok.
Jadi, tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu.
Sentiasa aku mahu terpesong dari landasan kerana aku buruan syaitan..

ADAM...
Maha Suci Allah yang mentakdirkan kaumku lebih ramai daripada bilangan kaummu di akhir zaman,


inilah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusan-Nya..
jika bilangan kaumku sedikit dari bilangan kaummu,
nescaya merahlah dunia kerana darah manusia,
kacau bilaulah suasana, sesama ADAM bermusuhan kerana HAWA.
Buktinya sudah cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil sehinggalah pada zaman cucu cicitnya.
Pun begitu,
maka tidak selaraslah undang-undang Allah yang mengharuskan beristeri lebih daripada satu, tapi tidak lebih dari satu waktu.

ADAM...
Bukan kerana ramai isterimu yang membimbingkan aku.
Tidak kerana sedikitnya yang merunsingkan aku.

Tapi, aku risau, gundah gulana menyaksikan tingkah lakumu.
Kau sejak dahulu lagi tahu bahawa aku mesti tunduk ketika menjadi isterimu.
namun terasa berat pula untuk menyatakan isi perkara sebenarnya.

ADAM...
Aku tahu bahawa kau tahu dalam Al-Qu'ran ada ayat yang menyatakan
"kaum lelaki adalah penguasa kepada kaum wanita.."
kau diberi amaran untuk mendidik aku,
kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku,
mengawasi dan menjaga aku agar aku sentiasa dalam redha Tuhanmu dan Tuhanku.
Tapi ADAM, nyata dan rata-rata apa yang sudah jadi pada kaumku ini??
Aku dan kaumku telah menderhakaimu.
Ramai yang telah menyimpang dari jalan yang telah ditetapkan.
Asalnya Allah menghendaki aku tinggal tetap di rumah.
Jalan-jalan, pasar-pasar dan bandar-bandar bukan tempatku.
Jika terpaksa aku keluar rumah,
maka seluruh tubuhku mesti dibalut dari hujung rambut ke hujung kaki.
Tapi realiti dan hakikatnya kini, HAWA telah berbuat lebih dari apa yang patut.

ADAM..
Mengapa kau biarkan aku begini?? Aku jadi ibu, aku jadi guru, "itu sudah tentu", katamu.
Aku ibu dan guru pada anak-anak mu.
Tapi sekarang, pada waktu yang sama, aku ke medan menguruskan urusan negara.
Aku ke hutan memikul senjata. Padahal, kau duduk-duduk sahaja.
Ada diantara kaummu yang menganggur tiada bekerja.
Kau perhatikan sahaja aku panjat tangga di pejabat bomba.
Kainku tinggi menyingsing paha mengamankan negara.
Apa kau sekarang tidak lagi seperti dahulu?
Apakah telah hilang kasih sucimu terhadap diriku?

ADAM...
Marahkah kau jika ku katakan"Andainya HAWA yang terpesong,
maka kau yang patut tanggung". Sebab apa ADAM?
Ramai yang berkata, jika anak jahat, mak bapak tak pandai mendidik,
jika murid bodoh, guru yang tak pandai mengajar. ADAM, kau selalu berkata,
"HAWA memang degil, tak mahu dengar kata, tak mudah makan nasihat, kepala batu.."
Pada hematku yang dhaif ini ADAM, seharusnya kau tanya dirimu.
Adakah didikanmu terhadapku sama seperti didikan Nabi s.a.w.terhadap isteri-isterinya??
Adakah ADAM melayani HAWA seperti psikologi Muhammad s.a.w. terhadap mereka?
Apakah akhlak ADAM boleh dijadikan contoh buat kaum HAWA? Aku,
kaum HAWA merindukan kata-kata yang penuh kelembutan seperti Muhammad s.a.w.
Namun mungkin aku tidak akan mendengar kata-kata seperti itu lagi, kerana kau,
kaum ADAM kini bukanlah seperti Muhammad s.a.w. yang ku rindui...

ADAM...
Kau sebenarnya imam dan aku adalah makmum.
Aku adalah pengikutmu kerana kau adalah ketua.
Jika kau benar, maka benarlah aku.
Jika kau lalai, maka lalailah aku.
Wahai ADAM, kau punya kelebihan akal, manakala aku kelebihan nafsu.
Akalmu sembilan, nafsumu satu. Akalku satu, nafsuku beribu!
Oleh itu ADAM, gunakanlah kelebihan akalmu itu, untuk membimbingku,
kerana aku sering lalai dan lupa, sering tergelincir ditolak nafsu dan konco-konconya.

ADAM...
Aku suka kalau kau mengimamai solatku pada setiap waktu.
Akan ku aminkan bacaaan doamu.
Lebih aku suka kalau kau bangunkan aku untuk bertahajut bersamamu.
Kau kenalkan aku pada majlis-majlis agama.
Kau ajari aku untuk pandai membaca dan memahami Al-Qur'an.
Kau khabarkan kepadaku tentang fardu-fardu yang aku patut tahu.
Tunjukkan perkara sebenar yang patut aku tahu wahai ADAM!

ADAM...
Akhir kata, ajari aku agar menjadi isterimu yang solehah.
Didiklah aku supaya aku tunduk, patuh dan menghormatimu setiap waktu.
Tolonglah aku ADAM agar aku tidak beku. Bantulah aku agar otakku tidak buntu.
Selamatlah aku dari seksa neraka yang sudah tentu tiada siapa yang tegar menanggungnya...





*xpasti siapa penulisnya, ana skadar share ^_^

luahan kaum adam buat kaum hawa



wahai hawa,
Kami sulit menahan pandangan mata kami
ketika melihat kalian,
apalagi jika kalian diamanahkan Allah
kecantikan dan postur yand ideal,
kami semakin susah untuk menolak agar tidak melihat kalian,
kerana itu lebarkanlah serta longgarkanlah pakaian kalian
dan tutupilah rambut hingga ke dada kalian dengan kerudung yang membentang.

Kami sulit menahan pendengaran kami
ketika berbicara dengan kalian,
apalagi jika kalian diamanahkan oleh Allah
suara yang merdu dengan irama yang mendayu
kerana itu tegaskanlah suara kalian
tatkala berbicara di berhadapan dengan kami
dan berbicaralah seperlunya sahaja.


Kami juga sulit menahan
bayangan-bayangan hati kalian,
ketika kalian dapat menjadi
tempat untuk dicurahkan segala isi hati kami,
waktu luang kami kadangkala akan sering terisi
oleh bayangan-bayangan kalian,
kerana itu janganlah kalian membiarkan kami
menjadi curahan hati bagi kalia

Kami tahu kami insan lemah
bila harus berhadapan dengan kalian,
kekerasan hati kami dengan mudah bisa luluh
hanya dengan senyum kalian,
hati kami akan bergetar
ketika mendengar dan melihat kalian menangis.

Sungguh ALLAH telah memberikan amanah terindah kepada kalian,
maka jagalah amanah itu
jangan sampai ALLAH murka dan memberikan keputusan-Nya.

Maha Besar dan Maha Suci Allah yang tahu
akan kelemahan hati kami ini,
hanya dengan ikatan yang suci dan yang diredhai-NYA,
kalian akan menjadi halal bagi kami.






yang tak dipelihara,
lisan yang merayu dan hati yang tak terhijab,

Ya Rabb, Engkaulah mengawasi kami setiap detik,
kerana kasih sayangMu ya Allah kepada kami,
Engkau perintahkanlah malaikan silih berganti
menemani kami siang dan malam
agar iman kami dapat dijaga...

"LAlu apa yang telah aku lakukan selama ini..YA Rabb, ampunilah daku.

Untuk setiap pandangan yang tak terjaga,
untuk iman
everjihad-www.iluvislam.com

Saturday, December 4, 2010

ragam manusia


Bila sebut
"MASJID",
pasti terbayang di kepala
tempat orang Islam solat.
ya! tepat sekali. itulah jawapan yang kami cari.
eh, eh, tapi ini bukan kuiz.
ini betul-betul!! bukan cobaan.
begitulah kisahnya. jiwa-jiwa yang hadir berbagai jenis.
dari yang datang untuk menunjuk-nunjuk,
datang untuk pulang bersama kekasih hati,

datang untuk bergosip,
agak kasar bunyinya kan? tapi ini lah REALITI!!
sampailah yang datang untuk benar-benar
menghambakan diri pada Allah Yang Maha Kuasa,
untuk mencari redha Allah. inilah ragam masyarakat kita.
dari golongan manakah kita ye????
jawapannya ada pada diri kita sendiri..
tepuk dada, tanyalah IMAN kita



Terdapat beberapa adab dan hukum-hukum yang dititikberatkan oleh agama Islam berkenaan masjid. Berikut ialah adab-adab serta hukum-hukum yang sepatutnya diamalkan oleh umat Islam ketika mengunjungi masjid:

1) Ikhlaskan niat ketika pergi ke masjid.

Allah berfirman dalam Surah al-Bayyinah ayat 5 bermaksud: Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan (niat yang ikhlas) kepada-Nya dalam (menjalankan agama dengan lurus.


2) Mengambil wuduk sebelum pergi ke masjid.

Dalam Mu'jam at-Tabrani al-Kabir diriwayatkan daripada Sulaiman bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda sebagaiamana bermaksud: Sesiapa yang mengambil wuduk di rumahnya dan diperelokkan wuduknya, kemudian dia pergi ke masjid, maka dia adalah tetamu Allah, dan menjadi kewajipan ke atas orang yang dilawati untuk memuliakan tetamunya.(Sahih Targhib, 322)

Daripada Abu Umamah bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan yang bersih untuk menunaikan solat fardu, maka pahalanya adalah seumpama menunaikan haji. (Riwayat Abu Daud dan dihasankan oleh Al-Bani di dalam Sahih al-Targhib, 320).

3) Sentiasa tenang dan tidak tergopoh-gapah ketika menuju masjid.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: Jika kamu terdengar iqamat, maka berjalanlah kamu ke tempat solat dalam keadaan tenang dan tidak tergopoh-gapah. Apa yang kamu sempat, maka solatlah, dan apa yang tertinggal maka sempurnakanlah. (Muttafaqun `alaihi).

4) Dilarang membunyikan jari di dalam masjid.

Di dalam hadis Ka`ab bin A'jrah, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: Jika kamu berada di dalam masjid, janganlah kamu membunyikan jari-jari kamu kerana kamu seolah-olah berada dalam sembahyang ketika kamu menunggu untuk menunaikan sembahyang. (Riwayat Ibnu Hibban dan terdapat di dalam Sahih al-Targhib, 294).

5) Berhias.

Allah berfirman di dalam Surah al-A'raf ayat 31 bermaksud: Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah pada setiap kali memasuki masjid.

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini, mengatakan: ``Berdasarkan ayat ini dan apa yang disebut di dalam hadis Rasulullah, kita disunatkan untuk berhias ketika menunaikan solat, terutamanya ketika menunaikan Solat Jumaat dan Solat Hari Raya. Kita juga disunatkan untuk memakai wangi-wangian kerana ia juga merupakan salah satu jenis perhiasan di dalam Islam. Selain itu, bersiwak dan memakai pakaian putih juga merupakan sunah dan amalan Rasulullah.''

6) Disunatkan untuk Solat Tahiyat al-Masjid.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: Jika salah seorang daripada kamu memasuki masjid, janganlah kamu duduk melainkan kamu solat dua rakaat. (Muttafaqun `alaihi).

7) Dilarang menjadikan masjid tempat laluan.

Diriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: Jangan menjadikan masjid-masjid sebagai tempat laluan atau jalan melainkan sebagai tempat mengingati Allah dan tempat sembahyang. (Riwayat Tabrani dan dihasankan oleh al-Bani di dalam Sahihah, 1001 dan Sahih at-Targhib, 295).

Diriwayatkan daripada Abdulullah Ibn Mas`ud bahawa Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya salah satu tanda di antara tanda-tanda Hari Kiamat, ialah seorang lelaki berjalan di dalam masjid tanpa menunaikan sembahyang dua rakaat di dalamnya. (Riwayat Ibn Khuzaimah dan disokong oleh al-Bani di dalam Sahihah, 649).

Kesimpulannya, masjid mempunyai darjat dan makam yang tinggi di dalam Islam yang patut kita agungkan dan kita hormati. Justeru, berdasarkan tujuh adab yang disebutkan di atas, marilah kita sama-sama menghormati dan memakmurkannya de-ngan penuh dedikasi dan tanggungjawab. Semoga setiap amalan yang kita laksanakan dari hari ke hari akan mendapat ganjaran yang selayaknya daripada Allah s.w.t. di akhirat kelak.

Wednesday, December 1, 2010

AWAK SUDI JADI ISTERI KEDUA SAYA?


Awak Sudi Jadi Isteri Kedua Saya?


www.iLuvislam.com
serunaiklang_91
editor : everjihad



"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tegas dan yakin.


Tiba-tiba mata Fulanah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fulanah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Syazni liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fulanah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fulanah langsung tidak selari dengan penampilannya.

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… " Fulanah mula sebak.

"Tak. Maksud saya…"


"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fulanah dengan kasar.

"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Fulanah semakin tinggi, setinggi egonya.


Syazni diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fulanah' di sebalik Fulanah yang dia kenal selama ini. Fulanah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Syazni seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Syazni muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

"Ada hikmah," bisik hati kecil Syazni, sekecil pandangannya terhadap Fulanah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Syazni sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Syazni berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam persatuannya. Malah, Syazni dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama.

Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fulanah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Syazni. Bagi Fulanah, Syazni seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Syazni melamarnya menjadi isteri kedua. Syazni masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fulanah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fulanah, namun sikap Fulanah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Syazni tersebut.

Bagi Fulanah, Syazni tak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah Syazni berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Syazni semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Syazni – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Syazni.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Syazni dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Syazni sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Syazni menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fulanah atau tidak? Syazni bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Syazni berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya.

Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Syazni mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fulanah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tanpa segan silu.

"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.

"Er, betul ke ni?" tergagap Syazni menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Syazni.



"Kenapa saya?" tanya Syazni ingin tahu.

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.

"Baiklah," jawab Syazni tersenyum.

Akhirnya, Syazni dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Syazni terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Syazni semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Syazni membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Syazni. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

"Ye sayang?" jawab Syazni sambil memandu.


"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Syazni menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.

"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Syazni dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Syazni yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Syazni aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Syazni membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya.

Syazni berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

"Itu isteri pertama abang," Syazni menuding jari ke arah khemah tersebut

"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Syazni.

"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.

"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.

Syazni tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

"PERJUANGAN, " jawab Syazni.


***************



Sedarlah semua wahai muslimah serikandi dan perwira Islam ... kalian akan dimadukan!

Jika dirimu bakal seorang isteri…

Terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan, bahkan anda bukan isteri pertama yang bakal dikahwini tetapi anda adalah bakal isteri kedua kerana isteri pertama bagi suamimu ialah perjuangan Islam!

Perkahwinan ini telah lama dilangsungkan…

Kehadiran dirimu adalah untuk bersama berganding bahu memperjuangkan islam bukan menjadi batu penghalang perjuangan suamimu. Janganlah jadikan dirimu sebagai punca serta merendahkan harga diri \mu dengan terjadinya perceraian suamimu dengan isterinya yang pertama iaitu perjuangan islam!

Jika dirimu bakal seorang suami…


Terimalah bahawa anda bukanlah suami yang pertama yang bakal dinikahinya atau insan yang pertama yang dicintai dan disayangi oleh bakal isterimu! Bahkan dirimu adalah insan yang kedua yang dicintainya, kerana suami yang pertama baginya ialah perjuangan islam dan memartabatkannya.


Dia mencintaimu kerana dirimu mencintai islam dan memperjuangkan islam. Jika dirimu tidak sedemikian, sekelumit cinta pun tidak akan lahir dalam sanubari isterimu…


Bantulah isterimu atau suamimu dan kuatkanlah dia untuk meneruskan perjuangan islam ke serata dunia!!Takbir ! Allahuakbar!




Sumber : penditamuda.blogspot.com

Saturday, November 27, 2010

luruskan hatiku TUHAN..




Ya Allah...

Dengan berkat Nabi-Mu
dan berkat guruku
luruskanlah hatiku
agar agamaku lurus
betulkanlah hatiku
agar aku ikhlas selalu
tetapkanlah hatiku
agar aku tidak tergugat
dengan ujian yang menimpa

Ya Allah...
Tuhan yang mencipta hati
bersihkanlah hatiku
agar tidak merosakkan agamaku
dan juga tidak merosakkan
kehidupan orang lain

Wahai Tuhan...
yang membolak-balikkan hati
kuatkanlah hatiku
agar keyakinanku tidak berubah
supaya aku sentiasa tabah

Tuhan...
ENGKAU rasakanlah hatiku
sentiasa bersama-Mu
supaya aku rasa
ada yang melindungiku
agar aku tak rasa sepi
di dalam hidupku

Ya Allah...
Tuhan yang menjaga hati
lindungilah hatiku
agar seluruh hidupku
menjadi baik
supaya tidak khianat
dan tidak hasad
dan tidak berdendam
sesama manusia

Tuhan...
limpahkanlah ke dalam hatiku
nur dan hikmah
hingga aku dapat menyuluh hati
dan menyuluh kehidupanku
supaya lahir batinku menjadi taat

Tuhan...
aku harap ENGKAU
kabulkanlah doaku ini

Amin ya rabbal a'lamin...

taqwa..




Berbekallah ketakwaan
kau tak tahu saat malam berlalu
adakah ia menyisakan umur bagimu
hingga fajar datang menjelang
berapa banyak orang sehat
meninggal tanpa ada penyakit
berapa banyak orang yang sakit

hidup lama sepanjang hayat
berapa banyak anak belia
memotong perjalanan umurnya
jasad mereka terbujur lelap
dikuburnya yang hitam dan gelap
berapa banyak mempelai wanita
berhias untuk suami tercinta
ajal tak bisa lagi ditunda
pada saat malam pertama
berapa banyak muda dan mudi
pagi bercanda sore bersenang hati
tiada pengetahuan yang terpaut
kain kafan sedang di rajut



Thursday, November 18, 2010

Sahabat, ku luahkan apa yang tersirat...


sahabat,
aku manusia biasa,
yang hina di hadapan penciptaku,
aku pengembara,
dihantar ke dunia untuk memimpin,
memimpin diri ku dan jua saudara2ku,
kadangkala ku rapuh,
adamu di sisi menampal kelemahan diri,
sampai masa aku dijemput Tuhan,
akan disoal tentang kepimpinanku,
apa yang bakal ku katakan?

sahabat,
tamat pengembaraanku,
maka terpisahlah roh dari jasadku,
bermulalah soalan dua malaikat Allah yg setia,
sehinngalah hari pembalasan kelak,
Allah,
"MAALIKIYAUMIDDIN"
apa yg bakal aku tunjuk padaNya kelak?
adakah solatku yang tunggang langgang?
adakah hartaku yg bergunung tinggi?
adakah dosaku yang berjuta2 hekta luasnya?

sahabat,
kadangkala aku monolog sendiri,
apa pantaskah aku di sini,
mengaku diri beriman.mngaku diri Islam,
sedangkan laranganNya bagaikan suruhan padaku,
pintaNya ibarat tegahan padaku.
sungguh mataku telah dikaburi duniaku, dunia fatamorgana ini.
layakkah aku bergelar wanita solehah
sekali gus mancium JANNATUL FIRDAUS-Nya??
barangkali jauh angan-anganku,

sahabat,
tatkala iman bergoncang, sapaan lembut dari Tuhan
menyedarkan aku,
betapa diri telah karam di lautan dunia,
maka,timbullah nur keinsafan, yang menggoncang iman,
"TAK INGIN LAGI KU ULANGI KEMBALI,
GERAK DOSA YANG MENGHIRIS HATI"

sahabat
pimpinlah tangan ini,
dalam mencari rehaNya,
dalam merentasi gelora dunia fana ini,
dalam kembara mengumpul amal ini,
agar ada sesuatu untuk aku,
untu aku persembahkan buatNya,
yang ku puja-puja.
Tuhan sekalian alam,
siapa dia Tuhanku?
Allahu rabbi...
wallahualam

Wednesday, October 27, 2010

... BuNGa IsLaM ... ^_^




"JaDiLaH SePeRTi MaWaR BeRDuRi"






Aku ingin menjadi bunga segar
Yang mekar mewangi di taman
Ingin dipagari duri-duri tajam
Agar tiada yang berani menyentuh apatah lagi mendekati
Tanpa sebab yang menghalalkan.

Aku ingin berasa aman
Dalam indah taman
Tenang tanpa gusar
Gembira tanpa hiba,
Aku ingin sentiasa dihujani rahmat Tuhan
Ingin diiringi keredhaanNya
Dipayungi bawah awan lindunganNya
Agar selamat daripada panahan syaitan
Agar sejahtera daripada fitnah duniawi,

Tapi..
tatkala ini jiwa telah gelora
maka iman turut terkocak gelombang
Setibanya teguran Tuhan
Aku tersentak...
Baru kusedar keseronokan,
keindahan dan kebahagiaan yang aku kecapi
Terpesong dari landasan syariatNya
Lalu..
jiwa ini meronta saban hari
Minta dibebaskan daripada belenggu dosa noda
Sesaat tak terpadam ingatan dosa lalu
Yang semakin menimbun dalam catatan amalku...
Terbit nur insaf dari hati yang mulus
Syukur Tuhan masih menyayangi
Mujur tak tercampak ke lembah hina dan berlarutan dalam dosa
Kuyakin di langit sana masih luas terbuka
keampunan keredhaan dan rahmatNya..
Dan,sekali lagi ku utuhkan azam
aku ingin menjadi bunga segar yang mekar mewangi di taman
menanti hadir insan yang selayaknya memetikku menjadi hiasan
hidupnya...
[from:iluvislam.com]

Thursday, October 21, 2010

warkah untuk enta..


mula-mula enta jumpa ana.. enta cuba mendekati ana, kata enta enta nak hiburkan hati ana sebab ana nampak sedih sangat masa 2. baiknya enta. bahagia rasanya bila ditemani enta. enta selalu ada bila ana perlukan. enta layan semua kerenah ana. walaupun kita tak bercinta pun, tapi ana dah cukup bahagia dah macam ni. mungkin inilah rasanya manisnya kebahagiaan buat ana yang jarang rasa bahagia. dalam masa yang sama ana mencari Tuhan ana dan ana mencari agama ana. setelah puas ana mencari akhirnya ana temui. Allah..Allah Tuhan ana. syukur alhamdulillah,,tatkala ana alpha dalam dunia ana sendiri, datang teguran Allah yg mengetuk pintu hati ini.

ana rasa semua ni salah. ana dok ajak orang buat baik. jijik tengok orang buat dosa. tapi ana sendiri? MENDEKATI ZINA.. tersentak ana tatkala Allah tegur dalam surah as-saf ayat 2 "Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!" bukankah ana memperkatakan apa yang ana tidak melakukannya..? ana kata mendekati zina tu haram pada enta. tp apa yang ana buat? bersembang-sembang dalam telefonber jam-jam. enta siap puji suara ana manja. bukankah haram perempuan melembutkan suaranya di hadapan lelaki bkn mahramnya enta? bukankah begitu. tak ke munafik ana ni? Allah nampak apa kita buat. ana takut sangat.! "Ketahuilah! Sesungguhnya mereka yang ingkar itu membongkokkan badan mereka untuk menyembunyikan (perasaan buruk yang ada dalam dada mereka) daripada Allah. Ketahuilah! Semasa mereka berselubung dengan pakaian mereka sekalipun, Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan; sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada" (hud:5) ana tau jauh di dasar hati enta, enta pun nak hentikan semua ni. tapi takda kekuatan kan enta? kan? hmmmmmmmmmmmmmmmm... ana ada warkah buat enta.. dari waktu kita berpisah sehinggalah kini. apa yang terbuku di hati ni tinggal diam dan membeku di dasasr hati ana. jadi ana ingat nak tulis satu warkah lah. ana penat simpan sorang-sorang tau.

WARKAH BUAT ENTA YANG ANA INGATI

assalamualykum pembuka bicara. menemui enta yang kini berada entah di mana. lama ana cari kekuatan untuk menulis surat ni. mungkin saat enta buka surat ni ataupun saat enta tahu siapa pengirim surat ni, mungkin perasaan enta bercampur baur. sama ada geram, benci suka? ataupun apa-apa ajelah. pertama sekali ana ingin memohon maaf dunia akhirat mesej "ana nak jauh dari enta" tu sengaja ana kirim walaupun bukan hati ni rela. sakit rasanya berpisah dari orang yang ana dah mula sayang. tapi alhamdulillah ana ambil langkah pencegahan dari awal. apa orang kata, "MENCEGAH LEBIH BAIK DARI MERAWAT"? macam tu la agaknya bunyinya.

wahai mujahid idaman puteri Islam,
ana takut bebunga perasaan ana ni. walaupun kita cuma bersahabat, ana bimbang bila melibatkan soal hati dan perasaan. ana akui wujudnya perasaan sayang ni. tapi mustahil bagi ana untuk meluahkan rasa yang terbuku di dada ni pada enta. memang MUSTAHIL!!! ana tak nak luahkan cinta pada seseorang yang belum tentu jadi milik ana. dan ana pun tahu HARAM KIRANYA KITA BERKASIH-KASIHAN ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN SEBELUM NIKAH. ana minta maaf. bukan niat ana nak putuskan silaturrahim dengan enta. ana yakin janji Allah tu benar. enta cuba renungkan ayat ni. "HAMPARKAN MASAMU SELUASNYA BUAT ALLAH, PASTI ALLAH ATURKAN KEHIDUPANMU SEBAIKNYA, BERI HATI MU SEPENUHNYA BUAT ALLAH, PASTI ALLAH TEMUKANMU DENGAN PEMILIK TERINDAH" dalam proses ana mencari diri ana dan Tuhan ana, ana terasa sesuatu yang tak kena bila bersama enta. wujud satu perasaan tidak selesa.

wahai penegak agama Allah,
kita berbual di telefon, sms lewat-lewat malam seperti pasangan kekasih. sewaktu enta tunjuk sign enta dah mula ada perasaan ngan ana, ana ada sejenak terfikir untuk menunjukkan sign bahawa ana pun suka enta. tapi mujurlah Allah masih sayangkan ana. Allah tebalkan iman di dada, dan ana terselamat. ana dah kunci kemas-kemas perasaan ni di lubuk hati ana yang palinggggggggg dalam. biar blog ana ni je yang tahu.. enta.. enta,, tiba-tiba terlintas difikiran ni. "sayang-sayang kawan lelaki tinggal-tinggalkan" ana tak mampu nak ucap perpisahan saat mesej akhir ana. sebab hati ni terlalu sebak. lama-kelamaan ana redha. perasaan ni tak boleh dilayan sangat nanti menjadi-jadi dibuatnya. ana harap sangat enta kuat. dan ana tahu enta memag kuat kan.

akhir kata wahai sahabatku yang ku kasihi, ana harap enta dapat terima semua ni dengan redha. anggapla ini sebagai satu jihad. jihad menentang hawa nafsu. maafkanlah ana. surat ni tak kan pernah sampai kat enta. ana suka-suka tulis surat ni untuk buat iktibar je pada ana dan sahabat-sahabat ana. bukannya tak payah sangat nk buang perasaan ni. cuma mereka yang suka melayan lebih-lebih je akan cakap payah sebab syaitan dah kaburi mata. buat apa ana nak simpan perasaan pada insan yang bukan hak ana?? ingat! syaitan punyai 1001 cara untuk sesatkan kita. itukan janji dia. cinta Islamik lah,apalah. karut semua tu. tu semua propaganda nak kaburi mata anak-anak muda zaman sekarang. ana doakan enta temui seorang wanita solehah. tapi enta, kalau ada jodoh, tak ke mana kan? akhir kalam. assalamualykum..



pencari redha Ilahi

Monday, October 18, 2010

hati..? sabar...?


saat ini, detik ini, pelbagai tugas silih berganti. menuntut komitmen sepenuhnya pada tiap satunya. mustahil bagi aku manusia biasa untuk memenuhinya serentak. mujur Allah masih mahu memandang diri ini. masih ada pertolongan demi pertolongan tanpa disedari. kadang-kadang kita rasa macam kita ni banyak sangat masalah. kita pegang jawatan yang besar jadi tanggungjawab pon mestilah besar. tapi sedar tak kita ada orang yang memegang tanggungjawab lebih besar malahan dapat memikulnya dengan baik sekali berbanding kita. pokoknya adalah hati. didiklah hati dengan kesabaran dengan kesyukuran. dengan ketaqwaan.

SIFAT HATI YANG BERSIH

1.Sensitif dengan Tuhan – tidak mensyirikkan Allah dan benci kepada sesuatu yang dibenci Allah.
2.Jika dikurniakan kesenangan, sentiasa bersyukur atas pemberianNya.
3.Merasa resah dengan dosa dan noda yang dilakukan.
4.Sentiasa merasa diri diawasi Pencipta.
5.Bila ditimpa ujian dan musibah, redha dengan takdirNya.
6.Merendah diri dan merasa hina di hadapan Allah.
7.Bersyukur dan berterima kasih atas nikmat yang dikurniakan Allah kepadanya.

KEPENTINGAN PEMBERSIHAN HATI

1.Melaksanakan tuntutan Allah
2.Selari dengan tugas para Nabi
3.Syarat mendapat kedudukan yang tinggi
4.Amalan Rasulullah SAW
 Tingkatkan solat dan doa
 Banyakkan berselawat
 Melakukan solat sunat taubat
 Melazimi membaca Al-Quran
 Bermaaf-maafan
 Sentiasa berfikiran positif
 Muhasabah diri
 Berpuasa
 Mengingati mati
 Melaksanakan tuntutan Allah
 Selari dengan tugas para Nabi
 Syarat mendapat kedudukan yang tinggi
 Amalan Rasulullah SAW

SEKADAR RENUNGAN

MATA HATI (HIJJAZ)
Pandangan mata selalu menipu
Pandangan akal selalu tersalah
Pandangan nafsu selalu melulu
Pandangan hati itu yang hakiki
Kalau hati itu bersih

Hati kalau terlalu bersih
Pandangannya kan menembusi hijab
Hati jika sudah bersih
Firasatnya tepat kehendak Allah
Tapi hati bila dikotori
Bisikannya bukan lagi kebenaran

Hati tempat jatuhnya pandangan Allah
Jasad lahir tumpuan manusia
Utamakanlah pandangan Allah
Daripada pandangan manusia

AKHLAK MAHMUDAH (HASIL HATI YANG BERSIH)
• Khauf (takutkan Allah)
• Redha (menerima hukum Allah dan ketentuan Allah)
• Ikhlas
• Taubat
• Zuhud
• Sabar
• Syukur
• Tawakkal
• Mahabbah
• Zikrulmaut

ana tak pernah sedar. baru-baru ni Allah tarik sesuatu dalam hidup ana. saat ana perlukan dia sangat-sangat, dia pergi tinggalkan ana tanpa khabar berita. terumbang ambing hidup ana tanpa dia. ana nampak dia. ana renung wajah dia. tapi seolah-olah tak ada apa-apa yang berlaku. berat rasanya ujian ini.bukan ana tak cuba bertanya tapi, kaku! diam! bisu! tak apa, sabar tu kan separuh daripada iman. mudah sahaja dilafazkan, memang perit benar untuk bersabar. tapi bila hati telah diikhlaskan kerana Allah. pasti kita dapat merasa betapa MANISNYA SABAR ITU.
rupa-rupanya Allah tarik dia sebab Allah nak gantikan dengan seseorang yang lebih baik dalam hidup ana... subhanallah.. kenapa ana tak berfikir. senang je ungkapkan "ADA HIKMAH DI SEBALIK SEMUA INI" tapi cuba tanya diri sendiri. adakah kita benar-benar faham apa yang kita perkatakan???? hmmm... (pengajaran dari semua ni ana nak ajak diri ana dan sahabat-sahabat supaya BERFIKIR setiap yg baik dan yg kita rasakan buruk yg telah berlaku, kenapa Allah buat semua ni... bukan Allah sengaja nak main2,,semuanya bersebab :) ) ana akhiri kalam dgn ucapan wabillahitaufiq wal hidayah wassalamualykum warahmatullahi wabarakatu...

Hamzah Asadullah - InTeam




Kesedihan para mukminin,
Masih terpancar di pedang musyirikin,
Sedang darah para syuhada',
Masih merah di lantai sirah.

Ketamakkan kepada harta,
Mungkin itu jadi puncanya,
Maka Allah menjadi murka,
Sehingga Nabi pun turut terluka,

Dalam ramai umat yang gugur,
Satu jasad tubuhnya hancur,
Kepiluan beratapan,
Menangisi satu kehilangan.

Dan setelah dikenal pasti,
Dia hamzah perisai nabi,
Biar nyawa dikorbankan,
(jiwa raga dikorbankan)
Agar Islam tetap terselamat.

Di sebalik ketewasanmu,
Ada syurga sedang menunggu,
Tiap perintah mengandung hikmah,
Keingkaran kan mengundang padah.

Lailahaillallah,
huwa saidina hamzah asadullah.

Dikaulah perisai Rasulullah,
Berjuang berkorban demi Allah.

Sudahkah puas hatimu Hendon,
Dapat melapah hati dan jantung,
Terbalaskah dendam kesumat,
Yang sekian lama telah tersemat.

Thursday, October 14, 2010

zulfan,persada perjuangan

SIAPALAH AKU UNTUK MENGELUH?????????


Letih. Letih memikirkan segala masalah di depan mata.
Namun, adakah wajar untuk aku letih?
Sebanyak mana usaha aku andai dibandingkan usaha Nabi dan para sahabat. Berapa banyak usahaku ini berbanding usaha Hassan al-Banna. Layakkah aku untuk berasa letih?


Kecewa.
Hampir setiap jalan yang cuba aku redah menemui jalan buntu.
Namun, adakah layak untuk aku kecewa? Sedangkan Rasulullah S.A.W. yang ditolak oleh kaum sendiri pun tidak berputus asa dalam perjuangan, siapalah aku untuk kecewa?


Sibuk.
Sibuk menjalankan amanah-amanah yang diberi.
Namun, layakkah aku untuk mengaku diri ini sibuk?
Jika aku sibuk, bagaimana dengan Imam Syafie', Imam Ghazali dan Imam Nawawi? Apalah aku dibanding dgn mereka yang jauh lebih sibuk dan jauh lebih hebat dari diriku.


Pedih.
Pedih hati dan fizikal ini apabila menghadapai ujian dalam perjuangan ini.
Namun, apalah erti kepedihan ini dibandingkan dengan Bilal bin Rabah yang dihimpit dengan batu kerana menegakkan kalimah Ahad?


Hampa.
Hampa apabila amar makruf nahi mungkar yang dijalankan tidak diendahkan.
Adakah ini alasan untuk berhenti berjuang?


Sedangkan Nabi Nuh yang beratus tahun berdakwah, hanya sebilangan kecil kaumnya mengikutinya, namun, adakah baginda berputus asa?


Adakah kita selaku pendakwah ini selalu mengeluh? Mengapa perlu kita mengeluh?
Sedangkan sewaktu kita mengaku keIslaman diri, kita sudah menandatangani kontrak dengan Allah. Kontrak seumur hidup. Kontrak untuk bekerja untuk agamaNya.


Jadi, mengapakah kita mengeluh? Tiada alasan untukku berputus asa. Hanya ada satu jalan untukku. Gigih berusaha!


Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.
(At-Taubah:111)

Thursday, September 16, 2010

A.I.E

A.I.E.

Ana-Ithar-Enta

“Assalamu’alaikum!”

Salim menjawab salam dengan muka kosong. Kenapa la dalam banyak-banyak manusia, mamat ni yang datang? Leceh betul.

Dia berpelukan dengan lelaki yang baru tiba. Namun jiwanya tidak hangat dengan ukhuwwah. Cuma hangat dengan kerimasan. Tinggal, berpelukan sebegini adalah tradisi sekolah menengahnya dahulu.

“Enta cuti ke?” Salim bertanya.

Lelaki yang hanya tinggi sedikit daripadanya mengangguk bersama senyuman. Mereka berdua berjalan beriringan, hendak meninggalkan Lapangan Kapal Terbang. Sudah ada teksi yang menunggu untuk membawa mereka berdua ke rumah Salim.

“Kenapa datang sini?”

“Loh, enta tak suka ke?”

“Tak ada la…” Salim rasa tertembak.

“Saja nak ziarah enta”

“Tak rasa membazir duit dengan masa ke?”

“Eh? Dengan sahabat, apa yang bazirnya?” Lelaki itu meramas rambut Salim, kemudian terus bergerak ke bahagian belakang teksi untuk meletak barang.

Salim menghela nafas. Sahabat?

Sejak bila aku bersahabat dengan Faiq Zaini ni?

*****

Pantang ada waktu, mesti Faiq Zaini akan merapatinya, duduk bersamanya, meluang masa dengannya. Walaupun dia banyak kali menunjukkan rasa tidak senang, malah pernah berusaha menjauhkan diri, Faiq Zaini tetap tidak menjauhinya.

Seakan-akan, kalimah putus asa tidak pernah wujud dalam kamus lelaki itu.

Semenjak dia dan Faiq berpisah semasa tingkatan lima dahulu, tidak pernah langsung dia hubungi teman sekelasnya itu. Tetapi, Faiq Zaini mencarinya. Memasukkannya dalam senarai Yahoo Messenger dan Facebook.

Faiq Zainilah yang selalu bertanya khabar, berkongsi nasihat, tidak pernah lelaki itu lupa untuk mengucapkan Selamat Hari Lahir, juga sering sahaja lelaki itu menghantar mesej pesanan ringkas berbentuk nasihat dan ingatan.

Namun, 98% daripada semua itu tidak dilayan. Salim lebih senang invisible jika perasan Faiq Zaini wujud di alam maya. Sudah bertimbun mesej Faiq Zaini tidak dilayan. Baik melalui sms, e-mail mahupun Facebook. Ada juga yang terpaksa dilayan, hanya kerana tidak tahan dengan Faiq Zaini yang kelihatan seperti tidak berputus asa langsung.

3 tahun terpisah, hubungan mereka berjalan sebegitu. Faiq Zaini tetap tenang dan sabar dengan kerenahnya.

Tahun ini, dia perlu mengikuti Kursus Bahasa Arab di Jordan. Faiq Zaini, yang menyambung pengajian di Mesir, datang ke Jordan semata-mata hanya untuk berjumpa dengannya. Salim naik hairan dengan Faiq Zaini. Sudahlah tidak berputus asa, sanggup pula berkorban wang dan masa. Taraf hidup di Jordan, jauh lebih mahal daripada Mesir.

Tetapi Faiq Zaini tetap hadir.

Atas perkataan ukhuwwah dan persahabatan.

Walapun Salim tahu, betapa Faiq sedar bahawa dia tidak dilayan sebaiknya sebagai seorang sahabat.

*****

“Tak nak pergi jalan-jalan ke? Pergi Petra ke, Laut Mati ke, Jerash ke.” Salim memecahka keheningan pagi.

Faiq menggeleng. “Hanya nak duduk dengan enta. Enta bukannya dapat ikut kalau ana pergi jalan-jalan. Enta tak cuti kan?”

Salim diam. Ya, dia tidak bercuti walaupun semua pelajar melayu Jordan bercuti kerana musim sejuk ketika ini. Hal ini kerana, dia pelajar kursus. Bukan pelajar universiti di sini.

“Membazirlah. Dahla datang sini mahal”

“Membazir kalau memang niatnya nak berjalan ke tempat-tempat itu. Jadi, kalau tak pergi rugi lah. Tetapi, ana datang sini niatnya memang nak ziarah enta, luang masa dengan enta. Jadi, apa yang ruginya?” Faiq Zaini tersenyum ceria.

Dah senget ke apa kepala dia ni? Nak luang masa dengan aku aja? Dah kaya sangat ke? Hati Salim bergetar.

Faiq Zaini memasukkan tangan ke dalam saku baju sejuk. Helaan nafasnya timbul dalam bentuk asap putih yang nipis. Salim sedang membawanya berjalan melihat-lihat bandar Irbid.

“Macam mana kehidupan di Jordan?” Faiq bertanya.

“Okey. Macam enta lihat lah” Salim jawab endah tak endah.

Faiq mengangguk-angguk.

“Kondisi jiwa okey?”

“Hello, sini bukan hospital sakit jiwa ya”

Faiq ketawa.

Salim memandang ke arah lain.

Soalan itu merenjat jiwanya.

“Kalau ada apa-apa masalah, boleh kongsi”

“Muka ana ada tunjuk ada masalah ke?”

Faiq menggeleng. “Ana kata kalau ada”

“So, tak ada. Dah, jangan nak sibuk tepi kain orang”

“Enta bukan orang lain. Enta sahabat ana. Ana bukan sibuk. Tapi ambil berat” Faiq Zaini masih dengan senyuman bergayut. Tenang walaupun nada Salim agak kasar.

Salim mendengus. Asap putih yang nipis keluar.

“Sibuk” Dia menyepak angin. Tanda tidap puas hati.

*****

Apa masalahnya? Dia ada masalah. Bohong dia tiada masalah. Menjadi pelajar perubatan yang berasal dari sekolah agama, dia dipercayai oleh pelajar seangkatan dengannya untuk menjadi ketua. Peribadinya yang dahulu penyegan, berakhlak, menjadikan dirinya paling disenangi.

Tetapi, iman manusia itu ada turun dan naiknya.

Dia tersungkur juga di hadapan pintu bernama cinta. Dia jatuh hati pada seorang pelajar perempuan, dan akhirnya pernah beberapa kali keluar bersama berdua-duaan. Dia sudah lupa batas agama yang dididik di sekolah. Dia juga telah lupa akan pesan ibu ayah. Dia larut sendirian goyah.

Akhirnya, perbuatannya itu diketahui apabila ada yang terserempak dia berduaan berpegangan tangan dengan pasangannya di pusat membeli belah.

Dia disisih, dikecam hebat, seakan-akan dia telah berzina. Sedangkan, dia tidaklah sampai melakukan perbuatan terkutuk itu. Namun, manusia, apabila kepercayaan dikhianti, pasti amat dalam lukanya. Begitulah rakan-rakan seangkatannya yang mempercayainya. Rasa dikhianati, lantas menyisihkannya.

Salim tertekan. Pelajaran di universiti menjadi sukar. Dia seakan terpencil di satu pulau asing. Tiada yang bercakap dengannya. Tiada yang membantunya tika kesusahan. Tiada yang berbicara dengannya tika keseorangan.

Dia juga terpaksa menelan kepahitan, berpura-pura gembira dengan keadaannya di universiti apabila bersembang dengan ibu bapanya.

Dia rasa seperti mayat hidup.

Terhimpit dalam kubur majazi yang melingkungi diri.

Masalah ini langsung tidak pernah dikongsi.

Tetapi kali ini muncul Faiq Zaini.

Seakan-akan dikurniakan kuasa psikik oleh Ilahi, lelaki itu meneka tepat apa yang menyelubunginya sehari-hari.

Apakah ini?

*****

Faiq Zaini dilayan ala kadar sahaja. Rakan sekolahnya itu tidak pula cerewet. Apa yang ada, itulah yang disenanginya. Tidak meminta itu dan ini. Tidak ralat walaupun ditinggalkan di rumah seorang diri.

Salim tinggal seorang sahaja. Memandangkan tiada sesiapa dari rakan seangkatannya yang mahu serumah dengannya. Dia dipulakan. Seakan dia ada penyakit HIV pula gayanya.

“Macam mana la agaknya Faiq tu” Terdetik rasa kasihan.

Faiq Zaini, datang menggadai wang dan masa. Dari Mesir ke Jordan yang terkenal mahal. Tetapi tidak pula dilayan sebaiknya. Ada rasa bersalah timbul.

Salim membuka pintu rumah.

Sebaik sahaja dia mengangkat wajah, dia terpana.

“Selamat kembali ke syurga!” Faiq Zaini mendepangkan tangan.

Ini memang syurga! Salim melihat rumahnya telah dibersihkan. Barang-barangnya yang berterabur sudah dikemaskan. Buku-bukunya tersusun rapi di dalam almari. Salim menjenguk ke dapur, pinggan-pinggan yang sudah berkurun bertimbun sudah siap dibasuh. Malah sinki pun dicuci. Rumahnya pula berbau wangi.

Salim memandang Faiq Zaini.

“Suka?” Faiq Zaini mengangkat kening sebelah.

“Sejak bila ana upah enta jadi orang gaji ni?” Salim menyembunyikan kesenangannya dengan bicara yang kasar.

Faiq Zaini hanya tersenyum. “Mak kita, bukan orang gaji kita.”

“Enta bukan mak ana”

“Ana sahabat enta” Faiq Zaini bergerak ke katil.

Salim tidak membalas.

*****

Faiq Zaini membaca Al-Quran. Salim sedang menelaah pelajaran. Sudah seminggu Faiq Zaini datang menjadi tetamu. Lelaki itu akan berada di bumi Urdun ini untuk seminggu lagi. Cuti musim sejuknya adalah dua minggu.

Seminggu ini, tidak ke mana-mana. Sekadar berjalan sekitar Irbid sahaja. Boleh dikatakan, majoriti waktunya dihabiskan untuk bersama dengan Salim. Tanpa ada rasa kesah kerugian wang akibat tidak berjalan-jalan. Bahkan, Faiq Zaini sentiasa kelihatan senang hati.

Fikiran Salim sudah tidak fokus pada pelajarannya. Walaupun matanya lekat pada buku, tetapi fikirannya menerawang memikirkan Faiq Zaini.

Salim tersentuh. Seminggu Faiq berada di rumahnya, dia seakan ditegur secara halus akan tatacara kehidupan seorang muslim yang sebenar.

Dia yang telah lama meninggalkan kehidupan tarbawi yang terdidik di sekolahnya dahulu, rasa terpukul apabila Faiq Zaini dilihatnya masih istiqomah. Lelaki itu pergi solat di masjid setiap waktu. Bangun awal dan sempat berqiamullail sebelum menunaikan solat Subuh. Al-Quran pagi dan petang tidak ditinggalkan. Selepas Asar, dibacanya Al-Mathurat. Malah, Salim boleh melihat Faiq meluangkan masa dengan membaca buku Fikrah yang dibawanya sendiri dari Mesir.

Salim melepaskan nafas lemah.

Dia?

Baca Al-Quran pun entah bila kali terakhir. Solat Subuh sering sahaja terlajak. Dilakukan ketika matahari sudah naik tinggi semasa cuti, sebelum kelas pada hari belajar. Al-Mathurat jangan dicerita, langsung tidak dibaca. Buku Fikrah? Dia pun sudah tidak tahu mana satu buku fikrah dan mana satu bukan.

Hidupnya telah pekat dengan jahiliyyah. Jauh daripada tarbiyah. Meninggalkan semua ini membuatkan dia goyah.

“Weh, enta tak bosan ke hidup macam itu?” Salim menghentikan pembacaan Faiq.

Faiq angkat kening. “Bosan? Maksud enta?”

“Ya la, solat masjid nak kena jalan jauh. Bangun awal pula, tak cukup tidur. Baca Al-Quran, kena luang masa. Al-Mathurat lagi. Buku Fikrah lagi.”

Faiq ketawa. “Salim, Salim. Sejak bila semua benda ini membazirkan masa? Semua ini adalah benteng-benteng ghaib untuk menjaga kita daripada terjerumus dan tertipu daripada dunia”

Salim mencerunkan pandangan pada Faiq.

“Enta nak kata enta ini dah sampai tahap malaikat la?”

Faiq menggeleng. “Kita tidak akan mencapai tahap sempurna. Tetapi, kita boleh berusaha ke arah apa yang Allah redha. Sekurang-kurangnya, Allah sendiri menyuruh kita berusaha.”

Salim menjulingkan mata. “Kalau dengan enta, memang enta ajalah yang menang bila berdebat ni” Dia sebenarnya tidak tahu bagaimana hendak memanjangkan bicara lagi.

Faiq sengih. “Hati ana rasa tenang bila buat semua ini. Enta tak rasa tenang ke?”

Salim terdiam. Ketenangan hati.

Entah bila kali terakhir dia merasakannya.

*****

Faiq Zaini akan bertolak pulang hari ini. Lagi lima jam, lelaki itu perlu berada di Lapangan Kapal Terbang Queen Alia untuk check in.

Faiq telah siap mengemas barangannya.

“Salim, sini kejap”

“Ada apa?” Salim yang baru siap memasak, bergerak mendapatkan Faiq.

“Duduklah” Faiq menarik Salim untuk duduk. Salim lambat-lambat menurut.

“Ada apa sebenarnya ni?”

“Ana nak cakap sikit”

“Cepat lah” Salim malas-malas.

“Nah” Faiq mengeluarkan sesuatu dari begnya. Buku tebal.

“Apa ni?” Salim menyambut buku itu dan melihat kulit depannya.

“La Tahzan, maksudnya jangan bersedih. Karangan Dr ‘Aidh Qarni. Yang ini dalam Bahasa Inggeris. Bolehlah enta baca waktu masa lapang”

“Ana ada nampak macam bersedih ke?” Salim ego. Namun di dalam hatinya, dia rasa bahawa Faiq dapat meneka keadaannya. Macam mana Faiq dapat meneka, di situ menjadi tanda soal.

Faiq tersengih. “Buku ini, bagus kalau untuk orang tertekan, yang terjatuh dalam kesedihan. Tetapi, untuk orang yang tak sedih macam enta…” Senyuman bergayutan.

“Boleh baca untuk ingat-ingatkan diri. Sesungguhnya, peringatan itu baik untuk orang yang beriman” Faiq menepuk bahu Salim.

Salim rasa terpukul. Terasa Faiq menyembunyikan sesuatu.

“Enta ada simpan sesuatu daripada ana kan?” Salim meletak buku itu ke tepi. Kali ini, dia serius hendak berbicara dengan Faiq. Dia dapat rasa, Faiq datang dengan membawa misi tertentu. Jika tidak, pasti lelaki itu tidak akan membazirkan wang semata-mata hendak menziarahinya.

Faiq menatap wajah Salim dengan pandangan lembut. “Apa yang ana simpan?”

Salim diam. Berkira-kira hendak membuka pekungnya atau tidak. Dia meneka-neka, apakah Faiq telah mengetahuinya.

“Enta ada dengar khabar-khabar angin orang berkenaan ana?”

Faiq tersengih. “Jadi, enta ada simpan sesuatu?”

Salim putus bicara. Faiq ini, tahu atau tidak?

“Salim, ana tak kisah kalau enta tak sayang ana” Faiq melepas rasa.

Salim diam. Faiq ini tengah nak lepas bengang ke? Baru sekarang rasa semua perkara yang dia korbankan, seperti duit, masa, seperti tidak bermakna apabila tidak mendapat balasan?

“Tapi, ana nak enta sayang diri enta sendiri” Faiq memandang tepat mata Salim.

Salim rasa terpukul. “Maksud enta?”

“Jangan lempar diri enta ke dalam neraka sahabat”

Mata Salim membesar. “Sejak bila kau jadi Allah ni ha? Boleh kata aku masuk neraka pula!” Suara ditinggikan.

Faiq menghela nafas. “Ana kata, jangan lempar diri enta ke dalam neraka. Ana bukan kata enta ahli neraka. Maksudnya, jangan enta rosakkan kehidupan enta dengan menjauhi Allah SWT”

“Ana tahulah enta ni lebih baik daripada ana. Janganlah buat bagus macam ahli syurga” Salim tidak berpuas hati.

“Ana tidak susah-susah keluarkan wang dan luangkan masa ke mari, menegur enta, sebab ana lebih baik daripada enta. Ana menasihatkan enta, sebab ana sahabat enta”

“Sudahlah. Aku malas nak dengar” Salim bergerak.

Faiq pantas mendapatkan tangan Salim. Salim berpaling dan memandang tajam Faiq.

“Dengar sini sahabat. Ana tak akan lepaskan tangan enta. Kalau enta terjun ke dalam neraka, ana akan terjun ke dalamnya untuk sambut enta semula. Biar nanti, di akhirnya kita berpimpin tangan menembus syurga”

Hati Salim rasa tercucuk-cucuk. Sinaran mata Faiq Zaini menterjemahkan keseriusan lelaki itu.

Apa yang membuatkan Faiq sekeras ini?

“Lepas…” Salim berbicara perlahan.

Faiq melepaskan pegangannya.

Salim bergerak ke dapur.

Dia menyediakan sarapan pagi itu dengan lelehan air mata.

*****

Mengikut rancangan asalnya, Salim hendak meninggalkan sahaja Faiq Zaini keseorangan menunggu waktu check in. Tetapi, entah kenapa, hatinya berubah untuk bersama dengan rakan sekolahnya itu. Salim menunggu bersama-sama Faiq.

“Hei Faiq. Enta tak rasa rugi ke?”

“Rugi? Apa yang ana rugi?”

“Ya la, dua minggu, datang Jordan tapi duduk dengan ana sahaja”

“Kan ana dah kata tempoh hari…” Faiq hendak mengingatkan. Tetapi Salim pantas memotong.

“Ya ya. Tapi takkan enta tak ada rasa rugi langsung. Banyak duit enta keluarkan. Banyak masa enta habiskan. Dua minggu. Baik enta pergi berjalan-jalan. Ini enta duduk dengan ana sahaja. Ana pun tak layan enta sangat”

Faiq menghela nafas. “Tak, ana tak rasa rugi sesen pun”

“Kenapa?”

“Sebab enta sahabat ana”

“Kenapa enta sampai sanggup macam ini? Ana tak layan baik enta pun selama ini”

“Sebab enta adalah tanggungjawab ana kepada Allah” Faiq menepuk belakang Salim.

“Ana yakin dengan itu”

Aku ini tanggungjawab dia kepada Allah? Macam mana? “Apa maksud enta?”

“Bila ana bersahabat dengan seseorang, ana bina hubungan dengan dia itu berdasarkan untuk mencari redha Allah SWT. Justeru, menjaga sahabat ana, adalah tanggungjawab ana kepada Allah SWT”

“Kalau sahabat enta tu buat buruk dengan enta, tidak endahkan enta dan sebagainya?”

“Itu urusan dia dengan Allah. Ana tidak peduli. Sebab, ana bukan bina hubungan ini untuk menerima balasan kasih sayangnya. Ana membina hubungan, untuk menerima kasih sayang Allah”

Teguh, mapan, prinsip Faiq Zaini membuatkan Salim terjeda. Begitu murni sekali sahabatnya. Patutlah sahabatnya itu tidak pernah berputus asa menghubunginya, menjaga hubungan antara kedua mereka, walaupun dia menunjukkan rasa tidak berminat.

“Enta dengan ana?” Salim bertanya.

“Sama. Sebab itu ana ada di sini” Faiq tersenyum senang.

“Sebab apa enta ada di sini?”

“Biarlah ana jujur dengan enta. Ana sebenarnya tahu keadaan enta di Malaysia. Ana sentiasa ambil berat berkenaan enta. Ramai kawan-kawan enta adalah kawan-kawan ana juga sebenarnya. Mereka selalu berkongsi keadaan enta di universiti. Bagaimana enta dengan perempuan, bagaimana kehidupan enta”

“Jadi, kenapa enta tak pulaukan ana macam mereka pulaukan ana?”

“Sebab ana sahabat enta. Kalau namanya sahabat, apakah akan membiarkan sahabatnya terbakar di dalam api?”

Salim diam.

“Kalau namanya sahabat, mesti hendak bersama bahagia. Jadi, ana nak enta masuk syurga dengan ana. Sebab itu ana ada di sini”

“Sebab itu enta ada di sini? Apa enta buat?” Salim tidak nampak.

“Bersama dengan enta. Menenangkan jiwa enta. Memberi harapan pada enta. Hendak tunjuk pada enta bahawa masih ada manusia yang sayangkan enta. Pimpin enta.” Faiq menarik tangan Salim, menggenggam erat. Salim tidak menariknya. Salim membiarkan. Matanya memandag tangannya yang bercantum dengan tangan Faiq itu. Hangat.

“Ana nak tunjuk pada enta, Allah masih sayang enta”

“Buktinya?”

“Allah benarkan ana bersama enta sekarang”

“Enta keluarkan duit, luang masa ini, hanya untuk itu?” Salim bertanya dalam keadaan wajahnya masih tetap menghadap tangannya dan Faiq.

Faiq mengangguk. Walaupun dia tahu Salim tidak melihat anggukannya.

“Kenapa la enta sanggup berkorban macam itu?”

“Sebab ana ithar enta” Perlahan Faiq berbicara.

Salim mengangkat wajah. Ithar bermaksud mencintai sahabat melebihi diri sendiri. Faiq Zaini telah membuktikannya. Sungguh mulia sahabatnya itu. Kini air mata Salim mengalir. Egonya runtuh. Hatinya bergetar hebat. Terpukul dan terkesan.

Ketika ini, kedengaran pengumuman mengarahkan penumpang Kapal Terbang Egypt Air untuk ke Cairo bergerak masuk.

Faiq bangun. Air mata Salim diseka dengan jari ibu.

“Uhibbukafillah Salim. Jaga diri baik-baik. Ana akan selalu hubungi enta”

Salim menangis teresak-esak. Memeluk Faiq seerat mungkin.

“Maafkan ana Faiq. Maafkan ana”

Faiq menggeleng. “Enta tak ada dosa dengan ana.” Faiq menepuk-nepuk belakang tubuh Salim.

Ketika ini, baru Salim sedar, bahawa dia perlu bersyukur kepada Allah kerana mengurniakannya sahabat seperti Faiq. Sahabat yang tidak akan meninggalkannya, walau dia berada di jurang neraka.

Sanggup mengorbankan harta, masa semata-mata untuk memenuhi tanggungjawabnya sebagai seorang sahabat.

Ternyata, Faiq adalah sahabat yang sebenar.

Menterjemahkan definisi sahabat itu dalam kehidupan.

“Faiq!” Salim menjerit apabila Faiq semakin menjauh.

Faiq menoleh.

“Terima kasih!”

Faiq Zaini tersenyum manis. Berpaling semula dan mengangkat tangan.

A.I.E. Ternyata lebih daripada sekadar kata.

++ Followers ++

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...