kisah Imam Ahmad bin Hanbal dengan pembuat roti.
Diceritakan bahawa Imam Ahmad telah sampai ke suatu negeri, dan beliau ingin menumpang bermalam disebuah masjid. Akan tetapi beliau telah dilarang untuk berbuat demikian oleh penjaga masjid tersebut. Beliau dihalau oleh penjaga tersebut. Imam Ahmad berkata; “Aku akan tidur di kaki lima sahaja.” Maka bangunlah penjaga masjid tersebut dan menghalau beliau keluar jauh dari kawasan masjid.
Seorang pembuat roti ternampak Imam Ahmad yang tua dan tidak bermaya dan menawarkannya tempat bermalam. Maka Imam Ahmad mengikut pembuat roti tersebut. Apabila saja sampai, dia dilayan dengan baik. Kemudian, pembuat roti tersebut menyambung kerjanya. Imam Ahmad bin Hanbal terdengar pembuat roti itu beristighfar dan beristighfar sewaktu menguli adunannya. Dan dia berterusan mengulanginya dan menyebabkan Imam Ahmad yang mendengar merasa takjub.
Bila saja tiba pagi, Imam Ahmad bertanya kepada pembuat roti berkenaan amalan istighfarnya pada malam itu.
Pembuat roti berkata; “Aku biasa mengisi masaku dengan meinta keampunan semasa menguli roti.”
Imam Ahmad bertanya; “Ada ganjaran apa-apa yang kau rasa dengan perbuatan itu?”
Pembuat roti itu menjawab; “Ada tuan, demi Allah, tiada doaku yang tidak dijawab oleh Allah, Dia memakbulkan semuanya melainkan satu.”
Imam Ahmad bertanya; “Apakah yang satu itu?”
Jawab pembuat roti; “Aku teringin sekali berjumpa dengan Imam Ahmad bin Hanbal.”
Maka Imam Ahmad berkata; “Akulah Ahmad bin Hanbal wahai pembuat roti. Demi Allah, sesungguhnya Dia telah membawaku kepadamu..”
....sama ada dhaif atau sahih cerita ini, yang penting pengajarannya, sama-sama kita ambil , yang mana baik buat teladan, yang buruk buat sempadan
No comments:
Post a Comment